Pimpinan GISBH Akui Kes Liwat Berlaku, Nafi Tanam Doktrin Yang Menyeleweng
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
KUALA LUMPUR: Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengakui beberapa kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, pagi ini.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya.
“Saya bukan mahu menyebelahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke?
“Ini tangkap lebih 400 (kanak-kanak dan remaja (mendiami rumah amal dikaitkan dengan GISBH), mereka tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya
“Memang liwat itu ada satu, dua (kes), tetapi kenapa mahu dirangkumkan semuanya?” katanya.
Sementara itu, Nasarudin menafikan dakwaan GISBH menanamkan doktrin mengenai ajaran Islam yang menyeleweng terhadap kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu.
“Kenapa semudah ini? Perkara yang mudah (untuk) dirunding, kami tak menyakitkan orang lain dan sebagainya. Sedih sangatlah, cara hidup kami, ada yang kata doktrin. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
“Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam, kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat (masyarakat) pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata, GISBH akan melantik peguam bagi memulakan tindakan perundangan ke atas pihak yang didakwa melemparkan tohmahan terhadap organisasi itu.