Pierre Andre Buka Jalan untuk Dunia Sinematik dalam Dajal: Satu Malam diPedajal
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Pengarah tersohor, Pierre Andre, membawa penonton menyelami sisi gelap dalam filem terbarunya, Dajal: Satu Malam diPedajal.
Dijadualkan tayangannya pada Khamis, 6 Februari, Pierre mendedahkan bahawa filem ini hanyalah permulaan kepada sebuah kisah yang lebih besar.
Menurutnya, semasa menulis skrip, beliau menyedari bahawa jalan ceritanya memerlukan kesinambungan.
“Saya sengaja meninggalkan beberapa persoalan yang tidak terjawab. Siapa yang mati? Siapa sebenarnya mereka bertiga? Mengapa mereka berada di rumah itu? Semua ini akan terungkai dalam prekuel atau sekuel, insya-Allah, jika ada rezeki,” katanya.
Tambah Pierre, filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi direka untuk membangkitkan rasa ingin tahu dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Pierre, atau nama sebenarnya Muhammad Pierre Andre bin Nazarul Andre, percaya masih banyak ruang untuk mengembangkan cerita ini.
“Terdapat pelbagai elemen yang belum diterokai, termasuk hubungan antara watak, misteri di sebalik rumah itu, serta pengaruh ritual yang digambarkan – semua ini membuka peluang untuk kesinambungan cerita,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa tajuk filem ditukar kepada Dajal: Satu Malam diPedajal bagi memberikan impak lebih kuat.
“Tajuk ini merujuk kepada para pengikut Dajjal dan menggambarkan perjalanan mereka menuju kegelapan,” katanya ketika sidang media Malam Gala Dajal: Satu Malam diPedajal di Dadi Cinema, Pavilion pada malam Rabu.
Tambahnya, tumpuan utama filem ini adalah penceritaan yang mudah difahami penonton tanpa bergantung kepada kesan khas atau elemen gore semata-mata.
Pengarah Jangan Pandang Belakang ini turut mengakui bahawa filemnya mendapat inspirasi daripada beberapa karya seram klasik seperti Evil Dead. Namun, kekangan bajet menjadi cabaran utama dalam menghasilkan kesan visual yang lebih hebat.
Dajal: Satu Malam diPedajal mengisahkan dua pekerja Post Traumatic Cleaner yang terperangkap secara misteri di sebuah banglo selepas salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama semasa menjalankan tugas pembersihan.
Mereka kemudian dihantui kejadian ganjil dan menyeramkan, menjadikan filem ini penuh dengan ketegangan.
Filem ini menampilkan Amir Nafis dan pempengaruh terkenal, Bidin Al Zaifa, sebagai pelakon utama, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.
Filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 6 Februari 2025.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem seram mendebarkan ini yang dijangka menjadi pencetus kebangkitan genre thriller dalam industri perfileman tempatan.