IKLAN

Piala Thomas, Uber ditangguh buat kali kedua

HONG KONG: Tuan rumah Piala Thomas dan Uber, Denmark menangguhkan buat kali kedua kejohanan berprestij itu apabila menetapkan 3 hingga 11 Oktober sebagai tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Badminton Denmark, Bo Jensen dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini berkata, ia susulan kerajaan Denmark menyambung tempoh penjarakan sosial akibat pandemik COVID-19.

"Ia menyedihkan kerana kami terpaksa menukar tarikh sekali lagi. Bagaimanapun, paling penting keselamatan semua yang terbabit dalam kejohanan ini.

"Namun, ia masih lagi satu pencapaian terbaik buat kami selepas menjadi negara pertama dari bukan Asia menganjurkan Piala Thomas dan Uber. Kami bersedia menerima kehadiran peminat, pemain, sukarelawan, pegawai dan staf tapi biarlah dalam keadaan selamat," kata Jensen.

IKLAN

Sebelum ini, kejohanan membabitkan saingan berpasukan lelaki dan wanita itu dijadualkan berlangsung di Aarhus bulan depan, sebelum ia ditangguhkan tiga bulan.

Bagaimanapun, tempoh berkenaan dipanjangkan lagi selepas Denmark melarang aktiviti berkumpul beramai-ramai sehingga hujung Ogos depan.

Seluruh England menjadi kejohanan besar terakhir yang sempat dianjurkan sebelum penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia yang menyaksikan semua cara sukan ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu. - AFP

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN