Debaran buat peminat filem genre seram dan thriller tanah air bakal berakhir apabila naskhah terbaharu, Pewaris Susuk, bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula esok, 30 April 2026.
Membawa penonton menyelami sisi gelap amalan mistik kecantikan terlarang, filem arahan sutradara Faizal Nadxaman ini bukan sekadar menyajikan babak menyeramkan, malah merungkai persoalan mengenai beban dosa warisan yang terpaksa ditanggung oleh generasi seterusnya.
Diterbitkan secara kolaborasi antara Primeworks Studios dan Anomali Media, filem ini diperkuatkan lagi dengan lakonan mantap barisan bintang hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Sherie Merlis, dan Trisha Ooi.
Mengulas lanjut mengenai naskhah ini, Faizal Nadxaman menjelaskan bahawa beliau ingin membawa perspektif yang lebih realistik terhadap elemen “susuk” yang sering dianggap sebagai mitos masyarakat Melayu.

“Filem ini bukan sekadar tentang ketakutan, tetapi tentang warisan dosa dan pilihan yang terpaksa dibuat demi melindungi orang yang kita sayang. Kami mahu penonton bukan sahaja takut, tetapi turut merasai konflik dalaman watak dan beban yang mereka tanggung,” katanya di Majlis Tayangan Perdana yang diadakan di GSC Lalaport, Bukit Bintang, di sini, semalam.
Tambah beliau lagi, pemilihan barisan pelakon dibuat dengan teliti bagi memastikan setiap emosi dan ketegangan dapat disampaikan dengan berkesan kepada penonton.
“Saya sangat beruntung dapat bekerja dengan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam dan Sarimah. Mereka memberikan dimensi yang sangat kuat kepada watak Hadiff dan Seroja. Kita mahu penonton keluar dari pawagam dengan perasaan terganggu bukan hanya kerana visual, tetapi kerana memikirkan bahawa ‘setiap kecantikan itu ada harganya’.” katanya.

Nukilan skrip oleh Naza Manas ini turut memberi penekanan kepada tema pengorbanan seorang ibu dan bagaimana kecantikan yang diperoleh melalui jalan singkat akhirnya menuntut galang ganti yang mahal, termasuk nyawa keturunan sendiri.
Pewaris Susuk mengisahkan perjalanan hidup Maya (Alya Iman) yang cuba melarikan diri daripada trauma silam selepas kematian ibunya, Juriah (Sherie Merlis).
Maya membawa anaknya, Ayu, memulakan hidup baharu sebagai pembantu rumah di sebuah banglo terpencil milik Hadiff (Datuk Rosyam Nor).
Bagaimanapun, kedamaian yang dicari bertukar menjadi igauan ngeri. Kehadiran Maya bukan sahaja dicurigai oleh isteri Hadiff, Seroja (Sarimah Ibrahim), malah rumah berkenaan mula menyimpan rahsia hitam yang berkait rapat dengan asal-usul keluarga Maya sendiri.
Bagi penonton yang ingin menyaksikan bagaimana Maya berdepan dengan kuasa jahat demi menyelamatkan Ayu daripada menjadi korban seterusnya, pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Pewaris Susuk di pawagam berhampiran bermula esok, 30 April 2026.
