Peterpan ‘The Journey Continues’ di Idea Live Arena Julai Ini
- oleh MDaily Editor
- 28 Apr 2026 5:52 pm
Selepas mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia, gelombang nostalgia kumpulan ikonik Peterpan kini bersedia untuk melanda peminat di Malaysia menerusi konsert “The Journey Continues” yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini.
Konsert yang bakal menggegarkan Idea Live Arena itu bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia merupakan satu kembara emosi untuk menghidupkan semula legasi karya-karya hebat yang pernah menyatukan jutaan jiwa di rantau ini.
Dianjurkan oleh Pulse Project Asia dengan kerjasama rakan strategik seperti Black Sky, Sunstrong, INTX, dan Orlaith Inc, konsert ini bakal menyaksikan lagu-lagu malar segar seperti Semua Tentang Kita dan Mimpi Yang Sempurna diberi nafas baharu.
Menurut pihak penganjur, pemilihan barisan vokalis dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap lagu disampaikan dengan penuh emosi namun tetap setia kepada jiwa asal karya ciptaan kumpulan dari Bandung tersebut.
“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah satu perjalanan untuk menghidupkan semula rasa yang pernah menyatukan kita semua melalui muzik,” ujar wakil penganjur dalam satu kenyataan hari ini.

Antara bintang utama yang bakal menghiasi pentas termasuklah vokalis kumpulan Kotak, Tantri, yang terkenal dengan tenaga rock memukau, serta bintang muda Indonesia yang sedang meningkat naik, Rony Parulian.
Turut memantapkan barisan artis ialah penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Hael Husaini, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) itu dijangka memberikan interpretasi tersendiri menerusi kekuatan vokal kontemporarinya yang cukup sinonim dengan genre pop dan R&B.
Lebih menarik, penganjur turut memberi bayangan mengenai dua lagi nama besar yang akan diumumkan sebagai kejutan bagi menambah dinamik persembahan pada malam tersebut.
Selain memberi kepuasan kepada peminat tegar, penganjuran konsert ini juga dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia serta menyokong pertumbuhan industri kreatif serantau.
Bagi mereka yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan malam penuh bersejarah ini, jualan tiket akan mula dibuka pada 30 April 2026, jam 1.00 petang. Tiket boleh didapati melalui rakan tiket rasmi, Ticket2u dan Fantopia.
