Pesta Raya TVS: Himpunan Program Eksklusif Syawal, Hubungkan KL-Kuching
- oleh MDaily Editor
- 14 Mar 2026 3:11 pm
Stesen televisyen Sarawak, TVS, bakal menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi kempen “Pesta Raya TVS” yang menghimpunkan rangkaian program eksklusif merangkumi hiburan berskala besar, filem pendek, dan pengisian gaya hidup.
Kempen tersebut yang dilancarkan secara rasmi hari ini, bertujuan menghubungkan kemeriahan suasana perayaan antara Semenanjung dan Sarawak, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan merentasi latar budaya yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif TVS berkata, pemilihan pengisian tahun ini dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat merasai kehangatan Syawal walaupun berada jauh dari kampung halaman.

“Menerusi ‘Pesta Raya TVS’, kami ingin merapatkan jurang antara Kuala Lumpur dan Kuching. Kami membawakan intipati budaya kedua-dua wilayah ini dalam satu platform agar penonton dapat meraikan kepelbagaian Malaysia dalam suasana yang penuh keceriaan.
“Fokus kami bukan sekadar hiburan kosong, tetapi pengisian yang menyentuh hati seperti filem pendek Gambar Raya Paling Epik dan program inspirasi komuniti yang mampu memberi impak positif kepada penonton,” katanya.
Antara pengisian utama yang menjadi tumpuan ialah program hiburan Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching.
Dihoskan oleh gandingan serasi Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, rancangan ini bakal menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Marsha Milan, dan Bob Yusof.

Program yang dijadualkan bersiaran pada Hari Raya pertama dan kedua jam 9 malam itu turut mendapat sentuhan tokoh industri termasuk Datuk Ramli M.S dan Datuk Jalaluddin Hassan, yang menjanjikan pengisian penuh muzik dan gelak tawa dalam suasana rumah terbuka.
Selain hiburan muzik, TVS turut mempertaruhkan aspek penceritaan menyentuh hati menerusi filem pendek bertemakan kekeluargaan, Gambar Raya Paling Epik.
Menampilkan lakonan mantap pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi bersama Atiq Azman, naskhah ini membawa mesej mendalam tentang menghargai momen bersama insan tersayang.
Bagi penonton yang meminati genre bual bicara, program popular 3 Mak Dara kembali untuk musim kedua. Gandingan hos Raja Azura, Sharifah Shahora, dan Rita Rudaini dijangka terus memikat penonton dengan perkongsian jujur mengenai isu kehidupan dan wanita dalam suasana santai bermula 1 April depan.
Melengkapi kalendar perayaan, penonton akan disajikan dengan slot filem istimewa seperti Senario The Movie Ops Pocot dan Rompak Raya yang akan ditayangkan setiap hujung minggu sepanjang musim perayaan menerusi saluran 122 dan platform digital rasmi TVS.




