KARACHI: Sebuah pesawat penumpang terhempas di kawasan perumahan di Pakistan hari ini, beberapa saat selepas juruterbangnya melaporkan terdapat masalah teknikal.
The Sun melaporkan, seramai 107 orang yang berada dalam pesawat berkenaan dikhuatiri mati selepas jet milik Pakistan International Airlines (PIA), yang dalam proses pendaratan terakhir ke Lapangan Terbang Karachi, terhempas menghempap rumah di Model Colony, demikian dilaporkan.
Menurut laporan, beberapa bangunan musnah dalam nahas yang berlaku pada jam 2.45 petang waktu tempatan.
Pihak berkuasa penerbangan awam berkata, lapan kakitangan dan 99 penumpang berada dalam pesawat Airbus A320 itu.
Gambar dari dekat tempat kejadian menunjukkan awan asap hitam pekat menjulang ke udara di atas kawasan perumahan terbabit.
Jurucakap syarikat penerbangan kebangsaan Pakistan itu berkata: “Pesawat PK 8303 dengan 99 penumpang dan lapan anak kapal telah terhempas.”
Tentera Pakistan berkata, pasukan tindak balas pantasnya dan pasukan paramiliter telah sampai ke lokasi nahas untuk usaha bantuan dan penyelamat bersama dengan pentadbiran awam.
Stesen TV tempatan Geo menunjukkan orang ramai berhampiran tempat kejadian yang kelihatannya adalah kawasan berpenduduk padat dan ambulans berusaha untuk melaluinya.
Foto : AGENSI