Penyanyi berbakat, Syamel, mencipta sejarah baharu dalam kerjayanya dengan penganjuran PERTAMA – A New Journey Together with Me, Syamel di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) malam tadi.
Acara eksklusif itu memberi peluang istimewa kepada Syamel untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat lama dan baharu, berkongsi perjalanan seni, sumber inspirasi, serta memberi gambaran awal mengenai album pertamanya yang dijangka dilancarkan pada 2026.
Syamel, atau nama lengkapnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat yang diterima.
“Sebenarnya, ia lebih daripada apa yang saya jangkakan. Sokongan mereka pada malam PERTAMA itu membuatkan saya sangat terharu. Saya tak sangka peminat begitu hebat menyokong saya sepanjang ini,” katanya.
Menurut Syamel, PERTAMA merupakan langkah ke hadapan dalam kerjayanya.
“PERTAMA adalah satu langkah ke hadapan dalam kerjaya saya. Itulah sebabnya saya menamakan acara ini PERTAMA. PERTAMA juga adalah nama album saya, jadi mulai sekarang, semuanya tentang PERTAMA.” katanya.

Album berkenaan dijangka dilancarkan selepas Hari Raya tahun depan. Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Hingga Hujung Waktu dan Dalam Kenangan.
Syamel berkata konsep acara itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan lebih rapat dengan peminat.
“Kita boleh lihat wajah masing-masing, mereka yang sentiasa menyokong saya. Apalah sangat untuk saya hiburkan mereka selama sejam lebih, sedangkan mereka sudah meluangkan masa dan wang untuk menyokong saya sepanjang tahun. Jadi ia sangat berbaloi,” .
“Harapan saya, peminat akan terus mendapat berita dan pengumuman eksklusif terus daripada saya sendiri.”. katanya.
Pada malam itu, peminat turut dihiburkan dengan persembahan lagu terbaharu Syamel, Beribu Tanda Tanya, ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.
Acara ini dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia, sebagai langkah baharu dalam evolusi seni Syamel yang menampilkan gabungan vokal, emosi dan kejujuran yang menjadi identitinya.




