Ikuti Kami:

Perpaduan & Ihsan Teras Madani Dalam Menangani Ekstremisme – Dr Mujahid

Perpaduan & Ihsan Teras Madani Dalam Menangani Ekstremisme – Dr Mujahid

Nilai perpaduan, ihsan dan semangat saling menghormati menjadi teras utama dalam usaha membendung ancaman ekstremisme agama di negara ini, sejajar dengan prinsip serta matlamat Malaysia Madani.

Pengerusi Akademi Nadwah Ulama’ Li An Nahdhah Al Jadidah (Akademi NUNJI), YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata usaha menangani ekstremisme tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, institusi agama, NGO dan masyarakat sivil.

“Pendekatan ini seiring dengan gagasan Madani yang menekankan keseimbangan antara nilai moral, pendidikan dan undang-undang. Masyarakat berakhlak dan saling menghormati adalah benteng utama menolak fahaman ekstrem,” katanya selepas merasmikan Forum Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan dan Keharmonian Negara di ibu negara, malam tadi.

Forum anjuran Akademi NUNJI dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan tokoh akademik, agamawan, wakil NGO serta belia bagi membincangkan pendekatan holistik menangani ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara.

Menurut Dr Mujahid, Akademi NUNJI akan meneruskan siri jelajah di seluruh Wilayah Persekutuan sehingga akhir tahun depan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat tentang bahaya ekstremisme, terutama dalam kalangan anak muda.

“Kita mahu generasi muda sedar bahawa ekstremisme bukan hanya dalam bentuk keganasan fizikal, tetapi juga dalam bentuk kebencian dan hasutan yang disebarkan di media sosial,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan mewujudkan Akta Anti Ucapan Kebencian (Anti Hate Speech Law) bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyebaran mesej berunsur kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Undang-undang sedia ada seperti Akta SKMM dan Kanun Keseksaan belum cukup kuat. Kita perlukan undang-undang khusus bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menabur ucapan kebencian,” ujarnya.

Dr Mujahid turut mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi agar tidak menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi bukan dengan membawa mesej kebencian. Kebebasan bersuara mesti disertai dengan tanggungjawab. Inilah yang saya maksudkan dengan Freedom with Responsibility,” katanya.

Forum berkenaan turut menampilkan tiga ahli panel iaitu pendakwah bebas Ustaz Ali Bin Muda, peguam Fadhli Umar Aminolhuda dan Raja Haziq Raja Kamal selaku moderator.

Program bermula jam 8.30 malam itu disempurnakan oleh Dr Mujahid sendiri selaku Pengerusi Akademi NUNJI merangkap Ahli Dewan Negara.

Komen
Loading...