Ikuti Kami:

‘Pernah Punya Aku’ Bukti Kematangan Shila Amzah Selepas 25 Tahun

‘Pernah Punya Aku’ Bukti Kematangan Shila Amzah Selepas 25 Tahun

Menyambut 25 tahun perjalanan seninya, penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah memperkenalkan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku, yang menjadi simbol kematangan dan evolusi dirinya sebagai wanita, ibu serta anak seni.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shila ini merupakan karya yang lahir daripada pengalaman peribadi yang mendalam. Ditulis ketika dalam tempoh berpantang, ia menjadi medium penyembuhan bagi penyanyi itu yang sedang melalui fasa emosi yang tidak menentu.

“Ketika itu, emosi saya sangat tidak stabil. Suami saya menyarankan supaya saya luahkan apa yang saya rasa melalui muzik. Maka terciptalah Pernah Punya Aku dalam masa dua hari. Ia bukan hanya luahan hati tetapi satu proses penyembuhan,” kata Shila.

Rakaman lagu yang diterbitkan oleh pengarah muzik tersohor, Genervie Kam, berlangsung dalam suasana yang positif dan efisien, hanya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk disiapkan.

Menurut Shila, keselesaan bekerja dengan Genervie sebagai sesama wanita menjadikan proses rakaman lebih lancar dan berkesan.

Walaupun menyentuh tema pengkhianatan dan kesedihan dalam hubungan, Shila menyuntik elemen harapan dan kekuatan dalam lirik lagu agar menjadi penguat semangat buat mereka yang pernah melalui situasi sama.

“Lagu ini saya tujukan kepada wanita yang pernah dicurangi atau ditinggalkan. Ia bukan hanya tentang kesedihan, tetapi juga tentang kekuatan untuk bangkit. Saya mahu pendengar tahu mereka tidak bersendirian,” jelasnya.

Sebagai bukti keikhlasan dan ketulusan dalam penghasilan lagu ini, Shila turut berkongsi bahawa ibunya adalah individu pertama yang mendengar lagu tersebut.

“Pandangan ibu sangat penting kerana dia pernah berada dalam situasi itu. Bila beliau kata lagu ini menyentuh perasaannya, saya tahu ia sampai kepada jiwa,” tambah Shila.

Pernah Punya Aku merupakan single pertama daripada album penuh terbaharu Shila yang akan dilancarkan hujung tahun ini. Album tersebut dijangka menampilkan sisi Shila yang lebih matang dari segi lirik, emosi dan hala tuju muzik.

Selain kembali dengan karya peribadi, Shila terus memperkukuh kredibilitinya dalam industri apabila diberi kepercayaan menjadi salah seorang komposer untuk program realiti digital Raise The Star Malaysia, sebaris dengan nama-nama besar seperti Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok.

Single Pernah Punya Aku kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Komen
Loading...