‘Perjalanan’: Ernie Zakri & Andi Rianto Menyatukan Melodi & Cerita Hidup
- oleh MDaily Editor
- 21 Nov 2025 2:00 pm
Penyanyi terkenal, Ernie Zakri, kembali dengan karya baharu berjudul “Perjalanan”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan produser ternama dari Indonesia, Andi Rianto.
Lagu ini mengangkat kisah hidup kedua-dua artis melalui gabungan lirik yang mendalam dan susunan muzik yang penuh emosi.
Menurut Ernie, idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus sewaktu sesi awal kerjasama mereka.
“Idea lagu ini muncul apabila Andi meminta saya menulis lirik sendiri, berdasarkan apa yang saya rasai. Kami masing-masing teringat tentang perjalanan hidup yang penuh cerita, lalu terciptalah lagu ini,” katanya.
Andi Rianto pula berkongsi bahawa inspirasi utama bagi komposisi “Perjalanan” datang daripada pengalaman hidup Ernie sendiri.
“Ernie telah melalui banyak suka dan duka dalam industri. Saya rasa inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu yang sarat dengan penghayatan seperti Perjalanan,” ujarnya.

Dari segi konsep muzik, Ernie menekankan bahawa walaupun susunan muzik Andi Rianto sangat kuat, identiti vokalnya tetap menjadi tunjang utama.
“Pengalaman bekerja dengan Andi sangat mudah. Beliau menghormati ruang kreatif saya dan memberi kebebasan untuk menulis kisah sendiri. Melodi yang tercipta terasa sangat tepat dengan jalan cerita yang ingin saya sampaikan.”
“Walaupun lagu ini ada sentuhan Andi, penyampaian dan vibe tetap Ernie Zakri,” jelasnya.
Lagu “Perjalanan” juga dipilih sebagai lagu tema (OST) untuk drama terbaru TV3, Cinta Anak Lorong, yang menampilkan vokal Ernie penuh emosi dan susunan muzik dramatis sebagai pelengkap penceritaan.
Ernie berharap lagu ini dapat memberi ruang kepada pendengar untuk merasa difahami dan diangkat dalam pengalaman masing-masing.
“Setiap orang ada perjalanan mereka sendiri, ada susah, ada senang. Saya harap peminat dapat merasai mesej ini dan sentiasa berbuat baik kepada sesama,” ujarnya.
“Perjalanan” kini boleh didengarkan di semua platform digital, menandakan satu lagi kejayaan kolaborasi dua nama besar dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia.




