
Watak adiwira legenda, Superman, terus membuktikan pengaruhnya apabila berjaya mengumpulkan 1,007 peserta lengkap berpakaian kostum ikonik itu dalam satu perhimpunan di AEON Mall Bukit Indah, Johor Bahru semalam.
Kejayaan luar biasa ini melayakkan acara tersebut menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Perhimpunan Paling Ramai Memakai Kostum Superman Dalam Satu Acara’.
Acara ini dianjurkan oleh AEON Co. (M) Bhd dengan kerjasama TGV Cinemas, bersempena tayangan filem blockbuster terbaharu “Superman” (2025) arahan James Gunn yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 Julai lalu.
Pengiktirafan tersebut disampaikan secara rasmi kepada pihak pengurusan AEON Mall sebagai bukti kejayaan memecahkan rekod kebangsaan.
Menurut Ketua Pemasaran Pusat Beli-belah AEON Mall Malaysia, Nikki Lee, kejayaan ini membuktikan komitmen AEON Mall dalam terus mencipta pengalaman baharu buat pelanggan.
“AEON Mall tidak akan berhenti untuk terus membawa pelbagai keterujaan kepada pelanggan dan komuniti kami yang sentiasa dihargai. Kami akan terus memperbanyakkan lagi program yang menyeronokkan, memberi nilai tambah dan mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelanggan setia kami,” katanya.
Penganjuran ini bukan sekadar untuk memeriahkan tayangan filem Superman, malah bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta merapatkan komuniti menerusi aktiviti sihat dan kreatif yang disertai oleh pelbagai peringkat usia.
Perhimpunan Superman ini juga merupakan sebahagian daripada kempen ‘Superman Cosplay Parade & Coloring Contest’ yang berlangsung di beberapa cawangan AEON Mall seluruh negara, termasuk di Cheras Selatan, Kulai Jaya, Tebrau City, Bukit Mertajam dan Taman Maluri sepanjang Julai hingga Ogos ini.
Selain perarakan kostum, acara ini turut menampilkan pertandingan mewarna bagi menarik penyertaan kanak-kanak serta peminat keluarga.
Kempen ini turut mendapat sokongan daripada penaja utama seperti Samsung, Toy World dan Inside Scoop sekaligus menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna buat pengunjung AEON.
Sebahagian daripada kempen “Home of Heroes”, SUPERMAN kini boleh ditonton di TGV Cinemas seluruh negara bermula 10 Julai. Layari www.tgv.com.my untuk mendapatkan tiket anda!