Perempuan Pembawa Sial: Seram, Mistik dan Sarat Emosi Kini Di Pawagam
- oleh MDaily Editor
- 13 Nov 2025 10:26 pm
Filem seram Indonesia Perempuan Pembawa Sial arahan dan tulisan Fajar Nugros kini boleh ditonton di Malaysia selepas mendapat sambutan hangat di Indonesia.
Filem ini menampilkan pelakon popular seperti Anya Geraldine, Arifin Putra, Ariyo Wahab, Sasya Afsana, dan Unique Priscilla.
Berlatar di Yogyakarta yang penuh suasana mistik, filem ini menggabungkan elemen seram psikologi dengan nilai budaya tempatan.
Ia bukan sekadar menakutkan, tetapi juga menyentuh hati dengan cerita tentang nasib, takdir, dan kutukan yang membelenggu hidup manusia.
Perempuan Pembawa Sial mula dipertontonkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival pada Disember 2024 sebelum ditayangkan secara rasmi di Indonesia pada September lalu.
Walaupun jalan ceritanya kadang perlahan, filem ini berjaya mengekalkan suasana misteri yang menegangkan, disokong oleh lakonan pelakon yang meyakinkan.
Lakonan Anya Geraldine sebagai Mirah boleh diberi pujian kerana berjaya menyampaikan emosi watak dengan baik.
Filem ini juga menonjolkan budaya Yogyakarta yang jarang ditampilkan dalam filem seram moden.

Sinopsis
Filem ini mengisahkan Mirah (Anya Geraldine), seorang wanita yang hidupnya dihantui sumpahan misteri di mana setiap lelaki yang mendekatinya akan ditimpa malang.
Cerita ini membawa penonton menyelami sisi gelap cinta, takdir, dan kutukan yang menimpa hidupnya.
Dengan gabungan seram psikologi, mistik budaya, dan emosi mendalam, Perempuan Pembawa Sial dijangka menarik minat penonton Malaysia tahun ini.
Filem ini diterbitkan oleh IDN Pictures dan diedarkan oleh Antenna Entertainment, dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 13 November 2025.




