Ikuti Kami:

Perbicaraan Kes Zayn Rayyan Bermula Januari Tahun Depan, Zaim Ikhwan, Ismanira Akan Mohon Kes Ditarik Balik

Perbicaraan Kes Zayn Rayyan Bermula Januari Tahun Depan, Zaim Ikhwan, Ismanira Akan Mohon Kes Ditarik Balik

PETALING JAYA – Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini berlangsung selama 15 hari, bermula tahun depan iaitu 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari.

Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga salinan dokumen kepada pihak pembelaan, iaitu laporan syarikat telekomunikasi, forensik telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami juga akan menyerahkan CD (cakera padat) termasuk dokumen berkaitan kes ini kepada mereka setelah ia dilengkapkan.

“Jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan yang mana kami akan memanggil seramai 15 saksi untuk memberi keterangan,” katanya yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Eliza Amira Habib Rahman.

Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar representasi supaya pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme, yang dikenakan terhadap mereka, ditarik balik.

Ketika prosiding, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, ia termasuk permohonan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semua kes tersebut.

“Selepas meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan, kami akan hantar dokumen berkaitan kepada AGC dalam masa terdekat.

“Susulan itu, saya harap mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan representasi, sebelum perbicaraan kes bermula,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan 6 Disember depan untuk keputusan representasi terbabit.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Sumber
Komen
Loading...