PARIS: Kerajaan Perancis semalam berkata, darurat kesihatan akan dilanjutkan dua bulan lagi bagi memastikan pendekatan mengekang COVID-19 diteruskan selepas sebahagian perintah berkurung ditarik balik.
Menteri Kesihatan, Olivier Veran, berkata pendekatan itu termasuk semua individu yang memasuki Perancis sama ada warga tempatan mahupun warga asing, perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.
“Ia meliputi rakyat Perancis yang berada di luar negara dan ingin pulang ke sini,” katanya pada sidang media.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan sama ada keputusan berbeza akan dibuat bagi pengembara mengikut negara asal.
Namun, katanya, sesiapa yang tiba dari luar negara dan dijangkiti virus itu adalah tertakluk kepada kewajipan untuk kuarantin.
Mereka yang menunjukkan gejala jangkitan ketika dalam pengasingan, juga perlu menjalani kuarantin.
Perincian mengenai langkah itu dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Veran berkata, individu dijangkiti yang sudah berada di Perancis bagaimanapun tidak akan dipaksa menjalani isolasi atau rawatan, kerana kerajaan mempercayai sikap bertanggungjawab dimiliki rakyat negara ini.
Beliau berkata, sebaik saja diluluskan, tempoh darurat itu akan dilanjutkan hingga 24 Julai depan. – AFP