Ikuti Kami:

Penyanyi Lagenda ‘Heaven Knows’ Rick Price Bakal Gegar Zepp KL April 2026

Penyanyi Lagenda ‘Heaven Knows’ Rick Price Bakal Gegar Zepp KL April 2026

Penyanyi dan penulis lagu terkenal dari Australia, Rick Price, yang popular dengan lagu-lagu balada emosi seperti ‘Heaven Knows’ dan ‘Nothing Can Stop Us Now’, bakal kembali mengubat rindu peminat di Malaysia menerusi konsert jelajahnya, “For Lovers” Concert Tour 2026.

Persembahan yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung secara langsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad, 5 April 2026, jam 8:00 malam.

“Musik Rick Price terus bergema melangkaui generasi, diraikan kerana keikhlasan dan kedalaman emosinya,” kata penganjur dalam kenyataan media semalam.

Price, yang membina kerjaya selama lebih tiga dekad, dikenali sebagai salah seorang penyanyi-penulis lagu pop-rock balada Australia yang paling dihormati.

Beliau terkenal dengan keupayaannya untuk berhubung secara mendalam dengan penonton melalui persembahan secara langsung yang penuh perasaan.

Konsert “For Lovers” menjanjikan pengalaman intim dan nostalgia, menampilkan himpunan lagu-lagu hit terhebat Rick Price serta pilihan lagu daripada karya terbaharunya.

Persembahan di Kuala Lumpur ini merupakan hentian istimewa dalam jelajah Asia Tenggara, menawarkan malam muzik yang indah untuk para ‘Kekasih, Pemimpi, dan mereka yang percaya pada cinta’ dalam suasana intim.

Harga tiket bermula dari RM250, RM350, RM450, termasuk pilihan kotak VIP (RM2800 untuk 8 orang, tidak termasuk yuran tempahan).

Jualan tiket akan bermula pada 16 Disember 2025 tepat jam 12:00 tengah hari melalui laman web www.fantopia.io.

Komen
Loading...