Ikuti Kami:

Penyanyi ‘Healing Music’ JessC Ukir Sejarah, Tersenarai ‘New Artists to Watch’ Rolling Stone UK!

Penyanyi ‘Healing Music’ JessC Ukir Sejarah, Tersenarai ‘New Artists to Watch’ Rolling Stone UK!

Penyanyi tempatan, JessC, terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila beliau tersenarai dalam ruangan berprestij ‘New Artists to Watch’ oleh majalah muzik berpengaruh dunia, Rolling Stone edisi United Kingdom (UK).

Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian bersejarah kerana JessC merupakan artis Asia pertama yang disenaraikan dalam ruangan tersebut, sekali gus menandakan naratif muzik rentas budaya Malaysia semakin mendapat perhatian global.

Mengulas mengenai penyanyi ‘healing music’ ini, ruangan ‘New Artists to Watch’ memuji JessC dengan gambaran “vokal yang lembut namun penuh ketegasan, membawa kehangatan dan kekuatan.”

Gaya muziknya yang bersifat mendalam, tenang, dan menyembuhkan turut menjadi fokus pujian, membolehkan beliau disenaraikan bersama artis-artis dari Rusia, Belgium, Amerika Syarikat, dan negara-negara lain.

Pencapaian ini hadir sejurus selepas JessC memenangi anugerah ‘Best Asian Pop’ di InterContinental Music Awards (ICMA) pada September lalu.

Dalam pada itu, JessC, yang giat mempromosikan tiga albumnya dalam bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris, turut meluahkan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut.

“Saya bukan mahu membuktikan apa-apa. Saya hanya berharap mereka yang memikul beban dalam hati dapat merasakan bahawa mereka tidak bersendirian. Jika lagu-lagu saya dapat menemani walaupun hanya seorang di mana-mana sudut dunia, maka maknanya sudah tercapai,” katanya.

Beliau menambah, beliau akan terus berkarya dalam pelbagai bahasa bagi memperluas potensi muzik sebagai medium emosi dan penyembuhan diri.

Selain pengiktirafan ini, JessC sebelum ini turut disiarkan dalam artikel khas oleh Rolling Stone versi Australia, yang melambangkan jambatan pertukaran muzik antara Timur dan Barat.

JessC bakal kembali ke pentas Malaysia pada 20 Disember untuk konsert ulangannya, dan sedang berusaha mencapai sasaran baharu melepasi 1,000 liputan media global menjelang hujung tahun.

Komen
Loading...