Ikuti Kami:

Penunggang Grab Food Maut Rempuh Peti Pembekal Voltan Rendah

Penunggang Grab Food Maut Rempuh Peti Pembekal Voltan Rendah

MELAKA: Seorang penunggang Grab Food terkorban selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan merempuh Peti Pembekal Voltan Rendah (Feeder Pillar) Tenaga Nasional Berhad di Jalan Ayer Keroh-Gapam malam tadi.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 9 malam itu, mangsa, Tan Tian Hau, 48, yang menunggang motosikal Honda Dash, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata laporan mengenai kejadian tersebut diterima oleh Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 9.13 malam.

Beliau menyatakan, sepasukan polis trafik telah dihantar ke lokasi untuk melakukan siasatan lanjut mengenai kemalangan yang dipercayai disebabkan oleh kehilangan kawalan.

“Hasil siasatan awal mendapati penunggang dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke arah Ayer Keroh dan semasa sampai di lokasi, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar Feeder Pillar milik TNB di bahu jalan.

“Akibat pelanggaran, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan, dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher menambah bahawa motosikal yang terlibat akan dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen
Loading...