Ikuti Kami:

Pentas Barbarik Vol 2 Kini di Mega Star Arena, JoBranko Janji Kelainan

Pentas Barbarik Vol 2 Kini di Mega Star Arena, JoBranko Janji Kelainan

Selepas kejayaan siri pertama yang mencetuskan fenomena di Odeon KL baru-baru ini, kumpulan Barbarik mengesahkan bakal kembali menggegar pentas menerusi penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena pada 31 Januari 2026.

Peralihan ke lokasi yang lebih luas dan gah itu dilakukan sebagai menyahut permintaan luar biasa peminat, selain menjadi medan ‘penebusan’ buat mereka yang gagal menyaksikan persembahan kumpulan itu sebelum ini akibat kekangan ruang lokasi.

Penggerak utama Barbarik, JoBranko, memberi jaminan bahawa siri kedua ini bukan sekadar persembahan ulangan, sebaliknya bakal menyajikan pembaharuan signifikan serta teknikal pentas yang lebih agresif.

“Kami tidak mahu penonton hanya datang untuk mendengar apa yang sudah ada dalam kaset atau platform penstriman. Justeru, Pentas Barbarik Vol 2 akan menyaksikan sekurang-kurangnya 30 peratus kelainan dari segi repertoir serta pemilihan lagu berbanding konsert terdahulu.

“Kali ini kita akan letak tiga unit dram di atas pentas dan kita akan adakan segmen khas untuk ‘spark’ semula semangat rockers. Selain itu, terdapat penambahan lagu untuk segmen yang menampilkan Black, Eddie, Mel, dan Jojet bagi memberi kepuasan maksimum,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan The Heritage Club, Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.

Sinergi Bersama Karl Cromok Menambah prestij konsert berdurasi dua jam 30 minit itu, pemuzik legenda Karl daripada kumpulan Cromok disahkan bakal membuat penampilan istimewa.

Kehadiran Karl dianggap sebagai pelengkap kepada ‘kekuatan’ Barbarik yang kini turut dianggotai pemuzik berpengalaman seperti Muss (Vokal), Rozaimi (Bass), Ainoll (Drum) dan Lee (Keyboard).

Penganjur bersama daripada Republic Mokhmah Records (RMR), Encik Abdul Musa Haji Mokhtar, menegaskan pihaknya komited untuk mengendalikan urusan penjualan tiket dengan lebih teliti bagi mengelakkan isu jualan tidak sah.

Kategori tiket dan harga dikekal (General Admission, Rockzone, VIP) dan ditambah beberapa kategori baru dengan harga bermula RM138 Hingga RM1,500 (Grand VIP-Couple Seat).

Peminat boleh mula mendapatkan tiket bermula esok, 18 Disember jam 12 tengah hari menerusi platform rasmi www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2.

Komen
Loading...