Ikuti Kami:

Pentas Barbarik: 466 Gagal Masuk, Odeon KL Janji Bayaran Balik Penuh

Pentas Barbarik: 466 Gagal Masuk, Odeon KL Janji Bayaran Balik Penuh

Seramai 466 orang pembeli tiket Konsert Pentas Barbarik Live @ Odeon KL malam tadi dilaporkan gagal memasuki dewan persembahan berikutan masalah teknikal, namun pihak Pengurusan Odeon KL tampil mengambil tanggungjawab penuh dan berjanji akan memberikan bayaran balik (refund) penuh kepada semua yang terjejas.

​Dalam satu kenyataan makluman yang dikeluarkan petang ini, Pengurusan Odeon KL menyatakan isu yang timbul semasa konsert tersebut sama sekali tidak melibatkan kumpulan rock, Barbarik, mahupun pengurusan Pentas Barbarik Sdn Bhd.

​“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa masalah yang timbul semasa Konsert Pentas Barbarik Live @ Odeon KL semalam tidak melibatkan atau kena-mengena dengan kumpulan Barbarik ataupun pengurusan Pentas Barbarik Sdn Bhd,” jelas kenyataan itu.

​Pengurusan Odeon KL turut memaklumkan bahawa mereka akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas semua peminat yang telah membeli tiket tetapi gagal memasuki dewan konsert.

​Berdasarkan rekod yang dimiliki, seramai 466 orang pembeli tiket telah dikenal pasti sebagai mangsa yang gagal memasuki dewan persembahan

​Setelah berbincang mengenai permasalahan itu, Pengurusan Odeon KL mengesahkan akan menghubungi setiap pembeli tiket yang terlibat secara terus.

​“Pihak kami akan menghubungi pembeli tiket melalui e-mel yang didaftarkan semasa pembelian tiket bagi urusan refund,” kata kenyataan tersebut.

​Tambah kenyataan itu lagi, pihak pengurusan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh para peminat.

Segala urusan penjualan tiket, proses pemulangan duit, dan refund adalah di bawah kendalian Pengurusan Odeon KL sepenuhnya, tanpa melibatkan kumpulan Barbarik atau pengurusan Pentas Barbarik Sdn Bhd.

Konsert Pentas Barbarik Live @ Odeon KL malam tadi mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat apabila sebilangan penonton gagal memasuki dewan persembahan.

Keadaan dalam dewan juga dilaporkan terlalu padat dan panas akibat masalah kekurangan pendingin hawa.

Komen
Loading...