Penjana Kerjaya : Subsidi Sehingga RM1,000 Untuk Mengaji Perantis, Penganggur Atau OKU
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang dikenali sebagai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk tempoh Jun hingga Disember ini.
Pelan merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi” itu bermatlamat Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.
Antara inisiatif yang diumumkan adalah Penjana Kerjaya yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan peruntukan RM1.5 bilion yang dapat memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.
“Insentif pengambilan pekerja antara RM600 hingga RM1,000 akan diberikan kepada majikan sekiranya mereka menggaji perantis, penganggur termasuk golongan yang kurang diwakili seperti orang kurang upaya (OKU) dan tenaga kerja berusia.
“Program ini merangkumi penyediaan peluang latihan kepada pencari kerja termasuk bukan pencarum Perkeso dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
“Di bawah program ini, pencari kerja yang perlu berpindah ke negeri lain untuk menerima tawaran kerja, akan diberikan elaun mobiliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata bagi menggalakkan perlindungan keselamatan sosial kepada semua, Perkeso akan melaksanakan program Geran Padanan untuk pekerja Ekonomi Gig dengan peruntukan sebanyak RM50 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pekerja.
Menurutnya, dalam program ini, dana padanan pada nisbah 70:30 atau kira-kira RM162.96 bagi setiap pekerja akan disediakan untuk perlindungan daripada bencana kerja selama satu tahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
“Perkeso juga bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia platform yang berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Perlindungan Perkeso tidak hanya di tempat kerja, malah melindungi pekerja terbabit kemalangan atau kematian berkaitan pekerjaan ketika bekerja dari rumah (WFH) di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Foto : Berita Harian, Bernama