Ikuti Kami:

Peninsular Safari Challenge & Truck Fiesta 2025 Gegar Putrajaya

Peninsular Safari Challenge & Truck Fiesta 2025 Gegar Putrajaya

Dari kiri: Tn. Haji Mohd Zaini Bin Mohd Noh (Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Putrajaya), Mohd Khairol Nizam Bin Mohd Ibrahim Khan (Presiden Persatuan MFWDA), En. Sabran Abd Bahar (Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Ilham Helmi Bin Izzat (Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Malaysia), M. Nizam Bin Abdullah @ TENGAS (Presiden Trekker X Venture).

Peninsular Safari Challenge (PSC) kembali menggegarkan dunia permotoran negara apabila pusingan separuh akhir kategori zon tengah berlangsung di Presint 6, Putrajaya bermula semalam sehingga Ahad ini, menerusi acara mega PSC & Truck Fiesta Putrajaya 2025.

Acara yang dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung ini bukan sahaja menguji kehebatan pemanduan ekstrem, malah menggabungkan elemen hiburan, gaya hidup dan konsep mesra keluarga melalui pelbagai aktiviti termasuk pameran, food fiesta dan persembahan artis.

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), Mohd Khairol Nizam bin Mohd Ibrahim Khan, berkata Putrajaya menjadi lokasi zon keempat sebelum final berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu pada 28 dan 29 Ogos ini.

“Acara ini sedang berlangsung bermula semalam sehingga Ahad. Semalam adalah sesi pendaftaran dengan penyertaan 30 kategori short wheelbase, 40 long wheelbase, dan satu kategori baharu untuk mencungkil bakat pemula iaitu pickup truck. Keseluruhannya kita ada kira-kira 100 kenderaan menyertai cabaran kali ini,” katanya.

Menurut beliau, acara ini bukan pertama kali diadakan di Putrajaya, namun tahun ini tampil lebih meriah berbanding edisi terdahulu.

“Tahun lepas kita hanya fokus kepada cabaran sahaja, tetapi kali ini kita tambah elemen hiburan, karnival makanan dan persembahan artis untuk menarik penyertaan keluarga serta masyarakat sekitar. Penyertaan wanita juga meningkat kepada 10 kenderaan, berbanding hanya tiga tahun lalu,” tambahnya.

Beliau menjelaskan objektif utama PSC adalah untuk memperkukuhkan disiplin sukan lasak dalam kategori pacuan empat roda di bawah kendalian MFWDA sebagai badan induk sukan permotoran lasak peringkat kebangsaan.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, En. Sabran Abd Bahar, pula menegaskan penganjuran program ini sejajar dengan aspirasi KBS yang sentiasa menyokong pembangunan sukan lasak.

“Kategori sukan permotoran ini tersenarai dalam 103 jenis sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan. Justeru, KBS sentiasa menyokong penganjuran acara sebegini kerana ia bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi turut mencungkil bakat baharu,” katanya.

Katanya lagi, KBS turut memberikan dana geran padanan sukan bagi memastikan kelangsungan program yang berupaya merancakkan penyertaan belia dan masyarakat setempat.

Acara kali ini menampilkan Mitsubishi Motors Malaysia dan Eon Auto Mart sebagai penaja utama yang membawa pelbagai promosi dan pengalaman eksklusif untuk pengunjung.

Deretan kenderaan lasak Mitsubishi menghiasi trek ekstrem dengan demonstrasi kuasa pemanduan dan teknologi keselamatan, manakala Eon Auto Mart menawarkan pakej servis dan aksesori automotif untuk peminat 4×4.

Lebih 90 kelab pacuan empat roda termasuk komuniti campervan dan kenderaan 6×6 turut memeriahkan PSC 2025.

Aktiviti menarik termasuk aksi drift, perlumbaan pickup truck, Remote Control 4×4 Challenge, demonstrasi keselamatan oleh Mitsubishi, serta Karnival Lepak Putrajaya yang menampilkan gerai makanan, tapak campervan dan ruang santai keluarga.

Persembahan artis seperti Man Raja Lawak, Zul Handyblack dan Acap Fine serta penampilan pempengaruh permotoran tempatan menambah kemeriahan acara yang berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos ini di Presint 6, Putrajaya bermula 9 pagi hingga 11 malam. Masuk adalah percuma.

Selepas Putrajaya, siri PSC akan melabuhkan tirai dengan aksi final di Kuala Nerus, Terengganu pada 28 hingga 29 Ogos ini.

“Kami menjemput seluruh masyarakat untuk hadir memeriahkan PSC & Truck Fiesta Putrajaya 2025, sambil menikmati tawaran hebat daripada Mitsubishi dan Eon Auto Mart yang menjadi tunjang utama acara ini,” kata Khairol.

PSC dibawakan oleh Persatuan Pandu Empat Roda Malaysia (MFWDA), dianjurkan Trekker X Venture yang turut disokong oleh Mitsubishi Motors Malaysia dan Eon Auto Mart, yang komited dalam memajukan industri permotoran serta menyokong gaya hidup aktif di Malaysia.

Komen
Loading...