Pengurus kepada pelakon popular Fattah Amin, Sakirin Acha, tampil menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul setelah video tular memaparkan Fattah memandu kereta Lamborghini ungu.
Menurut Sakirin atau lebih mesra dikenali sebagai Acha, kenderaan mewah itu bukanlah milik Fattah seperti yang disangka orang ramai.
Dalam laporan Harian Metro, Acha menyatakan bahawa kereta tersebut bukan hadiah daripada seorang usahawan emas, sebaliknya hanya digunakan sebagai prop untuk tujuan kandungan video syarikat terbabit.
“Saya ingin menegaskan, Fattah tidak menerima kereta Lamborghini seperti yang diperkatakan. Kereta itu adalah sebahagian daripada prop untuk sesi penggambaran video kandungan syarikat tersebut,” jelasnya.
Acha turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya video tersebut menimbulkan salah faham. Beliau berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan yang timbul dalam kalangan peminat dan warganet.
“Saya mohon maaf tapi Fattah tidak menerima kereta itu daripada pihak berkenaan,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, video yang menunjukkan Fattah menerima kunci kereta daripada seorang lelaki dan memandu kereta mewah jenis Lamborghini berwarna ungu telah menarik perhatian ramai dan menjadi perbualan hangat di media sosial.