Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah kilang memproses yong tau fu di Jalan Brunei Selatan, Pudu Kuala Lumpur, ditutup kerana kotor dan tidak menepati tahap kebersihan sepatutnya, berkuat kuasa semalam.
Pada kenyataan, DBKL berkata, hasil pemeriksaan sanitasi oleh petugas Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapati, ada urungan lipas di premis terbabit selain lantai serta dinding di ruang proses penyediaan kotor selain berdaki hitam.
“Kami dapati, pemilik premis juga tidak menyediakan tempat membersihkan peralatan dan kerja mencuci dilakukan di atas lantai.
“Makanan yang sudah dimasak pula terdedah, peti sejuk kotor dan tidak kemas. Begitu juga dengan tempat penyimpanan bahan mentah yang kotor,” katanya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pemeriksaan membabitkan enam anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL, kira-kira jam 10 pagi, mendapati lantai serta dinding tempat memproses makanan itu kotor dan berdaki.
Nor Hisham berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu berdaftar dan menggaji 10 pekerja, termasuk empat warga asing dari Nepal, Indonesia serta Myanmar.
“Masing-masing seorang pekerja Nepal dan Indonesia itu memiliki permit, manakala dua warga Myanmar pula adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Tindakan penutupan premis dilaksanakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Foto : Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)