Ikuti Kami:

Pengorbanan Ibu Tumpang Dalam ‘SENYAWA’ Bakal Menggoncang Jiwa Penonton

Pengorbanan Ibu Tumpang Dalam ‘SENYAWA’ Bakal Menggoncang Jiwa Penonton

Isu ibu tumpang yang jarang dibincangkan dalam kalangan umat Islam menjadi nadi utama drama bersiri terbaharu, SENYAWA, yang bakal disiarkan di iQIYI pada 25 Oktober ini.

Barisan pelakon ternama seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, dan Siti Hariesa akan menghidupkan drama yang menyentuh pelbagai konflik emosi dan agama. Drama ini diarahkan oleh pengarah tersohor Eyra Rahman, dengan bimbingan lakonan yang mendalam dari pelakon-pelakon terpilih.

SENYAWA mengisahkan Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan berjaya yang mendambakan zuriat selepas mengalami keguguran dan disahkan menghidap masalah kesihatan rahim.

Demi memenuhi hasrat mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Datin Nina Juren), Zabrina membuat keputusan drastik untuk mendapatkan ibu tumpang, walaupun perkara itu melanggar hukum agama.

Gadis kampung bernama Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa) dipilih sebagai ibu tumpang, mencetuskan pelbagai pergelutan moral dan agama dalam cerita ini.

Trisha Ooi mengakui cabaran besar dalam memegang watak Zabrina, yang melibatkan konflik batin, di mana dia perlu menggambarkan karakter yang dominan namun rapuh pada masa yang sama.

“Perjalanan Zabrina sangat mencabar kerana saya perlu membawa watak yang dominan tetapi rapuh pada masa yang sama.”, katanya.

Sementara itu, Shahz Jaszle yang melakonkan watak Iskandar, suami Zabrina, turut menyentuh mengenai isu moral dalam drama ini.

“Sebagai suami, tanggungjawab utama adalah membimbing keluarga dalam perkara yang halal dan haram.”, katanya.

Siti Hariesa pula mengakui bahawa drama ini membawa mesej penting tentang kejujuran dalam hubungan, terutama dalam menjaga keseimbangan antara cinta, keluarga, dan agama.

Eyra Rahman, pengarah drama ini, menjelaskan bahawa SENYAWA menyentuh isu berat tentang bagaimana manusia kadang kala tergelincir dalam mencari penyelesaian mudah yang bertentangan dengan ajaran agama.

“Drama ini akan membuatkan penonton berfikir mengenai akibat perbuatan yang kelihatan mudah, tetapi mendalam kesan buruknya.”, katanya.

Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, menekankan bahawa drama ini diharapkan bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi pengajaran tentang isu agama yang penting.

SENYAWA akan mula disiarkan pada 25 Oktober 2024, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9:00 malam.

Pastikan anda memuat turun aplikasi iQIYI dan menempah drama ini untuk tidak terlepas episod-episod yang penuh emosi dan pengajaran mendalam.

Komen
Loading...