Ikuti Kami:

Penghukum: Nusantara Assassin: Kisah Dendam dan Aksi Nusantara Di Pawagam Nov Ini

Penghukum: Nusantara Assassin: Kisah Dendam dan Aksi Nusantara Di Pawagam Nov Ini

Filem aksi terbaru, Penghukum: Nusantara Assassin, bakal membawa penonton menyelami kisah dendam dan aksi penuh ketegangan yang berlatarkan dunia Nusantara.

Filem arahan Azlan Norani ini menampilkan Razib Salimin dan Syazwan Zulkifly sebagai teraju utama, menjanjikan aksi yang mendebarkan, sinematografi menawan, dan penggambaran di lokasi-lokasi menarik sekitar Pahang.

Razib Salimin, yang popular dengan watak Abang Sham dalam filem pecah panggung Blood Brother: Bara Naga, kini membawa watak Salahuddin, seorang lelaki berusia 60-an yang bekerja sebagai pemburu upahan di bawah agensi rahsia selepas kehilangan cucunya.

Sementara itu, Syazwan Zulkifly memegang watak sebagai Zahin turut menyumbang kepada konflik dan ketegangan dalam filem cerita.

Menurut Azlan Norani, tajuk asal filem ini ialah Bookmaker: Nusantara Assassins, namun ditukar kepada Penghukum bagi menekankan penggunaan bahasa Melayu sambil mengekalkan unsur Nusantara dalam dunia fiksyen yang dibangunkan.

“Kami memilih untuk mengekalkan unsur Nusantara Assassins kerana negara yang digambarkan dalam filem ini sebenarnya adalah fiksyen, tetapi berlatarkan Nusantara. Di sini, Nusantara mempunyai elemen-elemen positif yang kami mahu tonjolkan,”

“Kepada semua warga Malaysia dan sesiapa sahaja yang berminat dengan aksi, tetapi juga mahukan cerita yang ada saran dan emosi, inilah filemnya,” katanya pada malam tayangan perdana di TGV KLCC semalam.

Selain Razib Salimin dan Syazwan Zulkifly, filem ini turut dibintangi oleh Yusra Akma, Arwan Umar, Sahronizam Noor, Azhan Rani, Bell Ngasri, Puteri Sari, dan Dr Haji Halim Ikhsan.

Filem ini mengisahkan Salahuddin yang membesarkan cucu tunggalnya, Yasmin, selepas kehilangan ibu bapanya. Demi menuntut keadilan, Salahuddin kembali ke dunia gelap sebagai pemburu upahan di agensi rahsia dan bermulalah misi berdarah untuk menumpaskan sindiket kejam yang telah meragut nyawa cucunya, sekaligus membangkitkan kembali sisi gelap dalam dirinya yang lama terpendam.

Filem ini turut menampilkan runut lagu Tanda Kasih yang dinyanyikan oleh Halim dan Kmy Kmo, menambahkan lagi lapisan emosi dalam cerita yang sarat dengan aksi dan drama.

Penghukum: Nusantara Assassin, terbitan Terang Films dan PMD Production serta diedarkan oleh D’Ayu Pictures Sdn Bhd, dijangka mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 November 2025.

Komen
Loading...