Ikuti Kami:

Penghargaan Rakyat Bukti Keprihatinan Anwar Ibrahim – Saifuddin Nasution Ismail

Penghargaan Rakyat Bukti Keprihatinan Anwar Ibrahim – Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pengumuman inisiatif penghargaan kepada rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti nyata keprihatinan seorang pemimpin yang mendahulukan rakyat dalam setiap keputusan.

Menurut beliau, langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri termasuk penurunan harga petrol bermula Oktober, penangguhan kenaikan tol hingga hujung tahun, serta pemberian tunai sebanyak RM22 juta kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas, adalah hasil pendekatan berhemah dan strategi fiskal yang telus oleh pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Ini bukan sekadar pengumuman biasa. Ia adalah tanda bahawa apabila negara berada di landasan pemulihan yang kukuh, manfaatnya dikembalikan kepada rakyat. Inilah bukti kepimpinan Anwar Ibrahim yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” ujar Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri telah membuat keputusan yang tepat apabila memilih untuk memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi terlebih dahulu sebelum melaksanakan janji-janji besar lain. Langkah ini, katanya, mencerminkan tanggungjawab dan integriti seorang pemimpin negara.

“Dengan kadar inflasi kini terkawal pada 1.5%, nilai ringgit yang semakin stabil dan pertumbuhan pelaburan asing yang memberangsangkan, Kerajaan MADANI menunjukkan bahawa ia mampu mengurus ekonomi negara dengan cekap sambil menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Saifuddin turut memuji ketegasan Perdana Menteri dalam menangani isu ketirisan, memperkukuh pengurusan kewangan negara, dan memerangi rasuah secara menyeluruh.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya melihat sendiri bagaimana dasar dan pendekatan kerajaan ini menolak budaya boros dan penyelewengan. Kecekapan pentadbiran inilah yang membolehkan rakyat menerima semula hasil negara dalam bentuk bantuan terus,” katanya.

Beliau menyifatkan langkah-langkah yang diumumkan sebagai isyarat bahawa kerajaan bukan sahaja prihatin, tetapi juga bersedia mengambil tindakan berasaskan kemampuan dan keperluan semasa.

“Inilah ciri kepimpinan yang bertanggungjawab – bukan sekadar menabur janji, tetapi menunaikannya apabila keadaan mengizinkan, dengan berpaksikan prinsip integriti dan keadilan sosial,” tambahnya.

Pengumuman penghargaan kepada rakyat ini disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat sebagai petanda jelas bahawa kepimpinan negara bergerak selari dengan aspirasi rakyat dan realiti ekonomi semasa.

Komen
Loading...