Ikuti Kami:

Pengasuh Didakwa Bunuh Al Fateh, Sebak Ketika Pertuduhan Dibacakan

Pengasuh Didakwa Bunuh Al Fateh, Sebak Ketika Pertuduhan Dibacakan

ALOR GAJAH: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia lapan bulan pada minggu lalu.

Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, yang kelihatan sebak mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Dr Teoh Shu Yee pada jam 9.50 pagi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nor Afifah didakwa membunuh Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri ketika bayi itu berada di Taska Anak Pintar Soleha Child Care Centre di Jalan Kelemak Utama 3, Taman Kelemak Utama, di sini, 6 September lalu, antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi.

Susulan itu, tertuduh yang juga ibu tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 13 November depan untuk pengurusan kes.

Selesai prosiding, tertuduh yang diberi kesempatan bertemu ahli keluarga turut menangis dan berpelukan.

Sumber
Komen
Loading...