Penganjur Perlu Tahu Buat Pemasaran Untuk Konsert – Siti Nurhaliza
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara, menekankan pentingnya peranan penganjur dalam memastikan kejayaan sesuatu konsert.
Menurut Siti, atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, aspek pemasaran dan modal memainkan peranan utama dalam menjayakan sesebuah acara.
“Dari segi membuat konsert ini, penganjur kena tahu bagaimana dia nak buat pemasaran dan jualan, sebab pemasaran ini membantu memastikan sama ada tiket terjual atau tidak.
Macam saya, walaupun orang kata letak nama Siti Nurhaliza mesti meletup, saya tak percaya begitu sahaja. Saya tidak pernah meletakkan nama saya sebagai jaminan tiket habis dijual,” jelas Siti seperti dilaporkan Gempak.
Tambahnya lagi, beliau sentiasa berbincang dengan penganjur untuk memastikan mereka mempunyai strategi pemasaran yang kukuh serta modal yang mencukupi.
“Saya akan tanya kepada penganjur, adakah mereka mempunyai pemasaran yang bagus dan modal yang cukup? Modal itu penting. Jangan berangan nak buat konsert artis tapi tak ada modal atau penaja yang mencukupi,” katanya.
Siti juga mengakui bahawa walaupun sudah lama bertapak dalam industri, beliau masih memerlukan sokongan penaja untuk memperkukuhkan sesebuah konsert.
“Dalam kes ini, saya rasa sesiapa yang nak buat konsert kena fikir banyak kali. Artis akan berikan yang terbaik, tapi penganjur memang perlu ada pasukan pemasaran yang mantap untuk menyokong jualan tiket,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Siti turut meluahkan rasa simpati terhadap penyanyi muda, Aisha Retno, yang terpaksa berdepan dengan pembatalan konsertnya baru-baru ini.
“Saya rasa simpati juga dengan Aisha Retno sebab saya tahu dia merupakan seorang artis muda yang sangat bekerja keras. Dia masuk pertandingan, usaha yang dilakukan adalah 200 peratus,” kata Siti.
Pandangan dan nasihat Siti Nurhaliza ini menjadi peringatan kepada penganjur dan industri hiburan untuk lebih bersedia dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan acara-acara muzik di negara ini.