Ikuti Kami:

Penganjur Perarakan Guan Gong di Teluk Intan Langgar Syarat Permit: 16 Rakyat China Dipanggil Siasat

Penganjur Perarakan Guan Gong di Teluk Intan Langgar Syarat Permit: 16 Rakyat China Dipanggil Siasat

Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia yang dikaitkan dengan insiden pengibaran bendera China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan didapati melanggar syarat yang ditetapkan dalam permit perarakan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, memaklumkan bahawa permit penganjuran, yang diluluskan pada 2 Oktober lalu, secara khusus melarang penglibatan warga asing dalam perarakan itu.

“Penganjur didapati melanggar syarat permit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan insiden tersebut, pihak polis menerima sebanyak 16 laporan dan telah merakam keterangan daripada 16 warga China yang terdiri daripada lapan lelaki berusia antara 40 hingga 61 tahun yang turut menyertai perarakan.

Selain itu, tiga penganjur acara, termasuk pengerusi, setiausaha, dan bendahari persatuan berkenaan yang berumur antara 26 hingga 61 tahun, turut dirakam keterangan mereka semalam.

Seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertindak sebagai pengiring kepada kumpulan warga China berkenaan juga telah diambil keterangannya.

Datuk Azizi menjelaskan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana pengibaran bendera asing di kawasan awam, serta Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas pelanggaran syarat permit.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya pada Isnin ini untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Sebelum ini, beberapa video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China berhampiran Dataran Menara Condong sambil bersorak, yang mengundang pelbagai reaksi dari netizen.

Penganjur sambutan, Persatuan Kebudayaan Guan Gong, melalui pengerusinya Soon Boon Hua, menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas insiden tersebut, menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan oleh rombongan dari China dan tidak melibatkan warga Malaysia.

Komen
Loading...