Ikuti Kami:

Penganjur Konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella’ Mohon Maaf, Janji Beri Imbuhan Kepada Penonton Terjejas

Penganjur Konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella’ Mohon Maaf, Janji Beri Imbuhan Kepada Penonton Terjejas

Penganjur konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen Ella’ hari ini memohon maaf secara terbuka dan menyatakan komitmen untuk memberikan imbuhan bersesuaian kepada penonton yang terjejas susulan gangguan sistem bunyi pada konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu lalu.

​Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn Bhd memaklumkan bahawa insiden gangguan bunyi tersebut dikenal pasti berlaku di Tingkat 3 stadium berkenaan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat di media sosial.

​Menurut kenyataan itu, satu mesyuarat teknikal telah diadakan semalam bersama pihak Perbadanan Stadium, pengurusan Ella serta pasukan teknikal terlibat bagi menyiasat aduan yang tular, khususnya di aplikasi Threads berhubung dakwaan vokal penyanyi itu tidak kedengaran dengan jelas.

​Hasil siasatan mendapati sistem bunyi di bilik kawalan SRS di Tingkat 2 stadium telah berubah format daripada tetapan asal yang telah dipersetujui semasa sesi raptai kepada format ‘Default’.

​”Pihak kami memandang serius akan perkara ini dan satu laporan polis telah dibuat pada 16 Februari 2026 jam 5:26 petang,” jelas kenyataan tersebut bagi menyiasat punca sebenar perubahan sistem berkenaan.

​Pihak penganjur menjelaskan bahawa meskipun pasukan teknikal vendor telah berjaya menyelesaikan isu tersebut sekitar jam 9.50 malam pada hari kejadian, mereka tetap mengakui kekesalan atas gangguan luar jangka yang berlaku.

​Sebagai langkah proaktif, penganjur kini sedang dalam fasa perbincangan bagi memberikan pampasan atau imbuhan yang sewajarnya kepada pemegang tiket kategori tertentu yang terkesan.

​”Kami memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan pihak penganjur sedang berbincang bagi memberikan imbuhan bersesuaian kepada pemegang tiket Bronze yang terkesan dengan kejadian tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.

​Terdahulu, konsert yang dihadiri ribuan peminat setia Ratu Rock negara itu mendapat maklum balas pelbagai selepas sebahagian penonton di aras tinggi stadium mengadu kualiti bunyi yang dihasilkan tidak memuaskan sehingga mengganggu pengalaman menonton mereka.

Dalam perkembangan sama, Gelombang “Majlis Tertinggi Rockqueen” bakal diteruskan ke Singapura pada 9 Mei 2026 di
The Star Theatre, membawa semangat yang sama ke pentas antarabangsa.

Loading...