Ikuti Kami:

Penganjur Jelas Isu Stacy Tarik Diri, Poster Konsert Sumandak Stars

Penganjur Jelas Isu Stacy Tarik Diri, Poster Konsert Sumandak Stars

Pengarah Orange International Entertainment, Datuk Mohd Fazli Idrus, mengakui pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan dalam isu poster konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku, yang menyebabkan Stacy Anam menarik diri.

Mohd Fazli menjelaskan bahawa penganjur tidak pernah berniat untuk membeza-bezakan atau merendahkan mana-mana artis yang terlibat.

“Ini memang kesilapan dari pihak kami. Tiada niat untuk membeza-bezakan atau memperkecilkan mana-mana artis. Setiap artis yang terlibat dalam konsert ini memiliki pencapaian tersendiri yang kami hargai,” katanya dalam satu kenyataan.

Kekeliruan berlaku apabila Stacy hanya bersetuju untuk menyertai konsert dua hari sebelum sidang media, menyebabkan poster terpaksa diubah pada saat-saat akhir.

“Pada mulanya, Stacy memang diletakkan sebagai bintang utama, tetapi kerana kekangan masa, bahagian kreatif kami membuat perubahan dan memasukkan gambarnya di belakang. Kami belajar dari kejadian ini dan akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” tambah Mohd Fazli

Mohd Fazli turut menegaskan bahawa Bella Astillah tidak terlibat dalam keputusan tersebut dan berharap orang ramai tidak menyalahkan Bella

“Bella hanya mengikuti keputusan kami sebagai penganjur, dia tiada kaitan dengan isu ini,” jelasnya.

Jumaat lalu, Stacy melalui syarikat pengurusannya, Rythm & Rhyme, mengumumkan penarikan dirinya daripada konsert yang dijadualkan pada 30 November.

Stacy dalam satu temubual menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak menyertai konsert itu telah dibuat lebih awal kerana konsert tersebut pada asalnya dikenali sebagai konsert Bella & Friends, dan dia sudah mempunyai perancangan kerja lain yang perlu diutamakan.

Selepas Stacy menarik diri, penganjur telah memuat naik poster baru yang menampilkan artis lain dalam kedudukan sama rata, tanpa gambar Stacy.

Komen
Loading...