Pengakuan Ummu Atiyyah: Dipaksa Berkahwin, Didera, dan Dikhianati oleh Keluarga Sendiri
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Ummu Atiyyah, anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya, membuat pengakuan mengejutkan bahawa dia telah dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin atasan dalam kumpulan itu pada tahun 2015.
Perkahwinan itu dipercayai didalangi oleh keluarganya sendiri untuk memperkukuhkan organisasi tersebut selepas kematian ayahnya pada tahun 2010.
Ummu yang juga ibu tunggal pada waktu itu, mendakwa dia dikhianati oleh adik-beradik sendiri dan dipaksa menjadi isteri keempat kepada seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya.
“Saya dipaksa berkahwin dengan lelaki tua dan boroi yang mendakwa perkahwinan itu adalah seruan Rasulullah SAW dan Abuya,” katanya.
Ummu menolak keras perkahwinan tersebut namun tidak mampu melawan tekanan daripada keluarganya.
Setelah perkahwinan itu, Ummu melarikan diri ke Jordan dan bersembunyi di rumah seorang kawan. Namun, dia dikesan oleh beberapa pengikutnya, termasuk ahli keluarganya sendiri, yang membawanya kembali.
Dia mendakwa didera secara fizikal dan emosi, termasuk dipisahkan daripada anaknya selama dua tahun.
“Saya dipisahkan dengan anak, dicucuh dengan pemetik api, dikurung, dan direndam dalam air berkali-kali,” jelas Ummu mengenai penderitaan yang dialaminya.
Malah, adik perempuannya sendiri turut terlibat dalam penderaan tersebut, memaksanya membogelkan diri dan memukulnya.
Dalam pengakuannya, Ummu menyatakan dia terpaksa mengikut kehendak mereka kerana bimbang keselamatannya.
Dia mendakwa telah dirogol kerana terpaksa berhubungan tanpa kerelaan. Setelah berjaya melarikan diri dari Turkiye, dia sekali lagi ditangkap dan dibawa ke Indonesia, di mana dia menghadapi penderaan lanjut sebelum berjaya melarikan diri buat kali kedua.
“Apa yang hendak saya sampaikan ialah kumpulan itu sebenarnya penuh dengan nafsu dan tiada maruah,” tambahnya.
Ummu juga mendedahkan bahawa syarikat ini menggunakan imej Islamik untuk meraih kepercayaan orang ramai, namun di sebalik tabir, berlaku pelbagai salah laku yang tidak bermoral.