Penangguhan Ditolak, PU Azman Mulakan Hukuman 24 Tahun Penjara
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Pendakwah selebriti, PU Azman dihantar ke Penjara Kajang hari ini untuk menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan, selepas Mahkamah Sesyen Klang menolak permohonan penangguhan hukuman.
Memetik Berita Harian, Hakim Noridah Adam menolak permohonan PU Azman, atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, kerana tiada keadaan khas yang membenarkan penangguhan.
“Permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman ditolak kerana tiada keadaan khas dikemukakan,” kata hakim.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad, menegaskan bahawa tiada keistimewaan diberikan selepas kesalahan jenayah terbukti.
Peguam Mohamad Zahid Ahmad, yang mewakili PU Azman, berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan masih menghadapi beberapa pertuduhan lain.
Difahamkan PU Azman menghadapi lima lagi pertuduhan di Seremban, dua di Shah Alam, dan satu di Klang serta Ampang.
Pasukan pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Klang bagi menangguhkan hukuman tersebut.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.