BALING: “Tergamak penjenayah itu melakukan kekejaman terhadap suami saya. Umur mereka (suspek) hanya pangkat anak saja dengan arwah, tetapi disebabkan duit, mereka sanggup membunuh sampai hilang pertimbangan,” kata Subhiah Roslina Shahibi, 57, dengan perasaan yang sangat terkilan dan sedih.
Isteri kepada pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, itu masih berharap suaminya akan ditemui walaupun sudah hampir sebulan berlalu sejak kehilangannya.
Memetik Berita Harian, Subhiah berkata, dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa tindakan kejam ini berlaku hanya kerana motif wang. Meskipun tidak dapat menerima kekejaman ini, dia yakin segala kejahatan akan terbongkar dengan kehendak Tuhan.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, sebijak mana pun kita tetap ada kebodohan, kalau jahat tidak boleh sorok,” katanya.
Penemuan terbaharu mendapati mangsa diikat tangannya, mulutnya ditutup dengan pita pelekat, dan dicampakkan ke Sungai Padang Terap. Tindakan kejam ini terbongkar selepas dua suspek tempatan ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.
Usaha mencari mayat suaminya masih dijalankan, dan dia hanya mampu berdoa agar suaminya dapat dikebumikan dengan sempurna.
“Walaupun terkejut dan sangat sedih, tetapi saya lega kerana selama 28 hari menunggu, ada jawapan terhadap kehilangan suami,” tambahnya.
Dia memohon kepada Allah agar suaminya dapat ditemui meskipun arus sungai sangat deras, kerana ramai yang menantikan kepulangan suaminya untuk memberikan penghormatan terakhir.
Harapannya tidak pernah padam, walaupun situasi itu sangat sukar, dia tetap berdoa agar suaminya dapat dikebumikan dengan sempurna.