Ikuti Kami:

Pemandu Van Jenazah Sebak Kehilangan 3 Anak Serentak – “Saya dah hantar 40 jenazah, kali ini saya tak berdaya…”

Pemandu Van Jenazah Sebak Kehilangan 3 Anak Serentak – “Saya dah hantar 40 jenazah, kali ini saya tak berdaya…”

“Sejak bekerja membawa kenderaan jenazah, saya sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan. Namun kali ini, saya tidak ada daya untuk berbuat demikian… semangat saya menjadi lemah.”

Perasaan pilu itu diluahkan Mohd Ismail, 64, yang kehilangan tiga anak, iaitu Umar Iskandar, 21; Khairil Firdaus, 17; dan Khalif Naim, 16, dalam tragedi lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Mohd yang bekerja sebagai pemandu kenderaan jenazah dan pengurusan masjid di kampung itu sejak menamatkan perkhidmatan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang, empat tahun lalu, juga tidak dapat menahan sebak tatkala melihat tiga keranda anaknya di ruang tamu rumah.

Jenazah tiga beradik itu selamat tiba di pekarangan kediaman keluarga, kira-kira jam 4 petang tadi.

Namun, katanya, beliau reda dengan pemergian mengejut ketiga-tiga anak dan bersyukur kerana usaha pasukan terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat mereka.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan operasi SAR terbabit, selain semua pihak yang sudi memberikan bantuan kewangan dan semangat.

“Saya reda kerana orang kata bahawa mati lemas menjadi syahid dan hadiah untuk mak ayah. Di sebalik yang buruk, ada baiknya,” katanya kepada pemberita di kediaman beliau di Kampung Kuala Telemong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, jenazah akan disembahyangkan di rumah keluarga sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang, untuk dikebumikan, petang ini.

Ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan di dalam satu liang berhampiran pusara ibu mereka.

Sumber : Berita Harian

Komen
Loading...