Seorang pemandu wanita yang merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun sehingga menyebabkan tiga daripadanya maut, manakala seorang lagi cedera parah, dipercayai berada dalam keadaan tidak siuman ketika kejadian.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada jam 7.35 malam di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun.
Kemalangan tragis itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta Yamaha 135 LC.
Memetik Sinar Harian, menurut Wan Rukman, mangsa yang maut termasuklah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, seorang pelajar tahun kedua jurusan Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan dari Ayer Hitam, Muar, Johor.
Dua lagi mangsa yang turut terkorban dikenali sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor. Kedua-duanya merupakan pelajar tahun kedua jurusan Sarjana Muda Sains Perakaunan.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah seperti patah tulang leher serta kecederaan di kepala dan dada. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata Wan Rukman.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati keempat-empat pelajar tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Dungun menuju ke Pantai Teluk Gadung ketika SUV berkenaan tiba-tiba merempuh bahagian belakang motosikal mereka.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Wan Rukman menambah bahawa pemandu wanita berusia 49 tahun yang terlibat telah ditahan. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.