Ikuti Kami:

Pemandu Bas Sekolah ‘Viral’ Rakam Murid Perempuan Ditahan

Pemandu Bas Sekolah ‘Viral’ Rakam Murid Perempuan Ditahan

JOHOR BAHRU: Pemandu bas sekolah yang menyiarkan gambar kanak-kanak di dalam bas menerusi aplikasi TikTok sudah ditahan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Simpang Renggam, Johor pada jam 2.57 pagi Jumaat.

Katanya, penahanan pemandu bas terbabit dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang susulan laporan polis terhadapnya berhubung video tular berkenaan.

Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran bagi tujuan siasatan.
Kumar dalam kenyataan memohon kerjasama dari ibu bapa kanak-kanak yang terdapat di dalam rakaman video agar tampil bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(A)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu bagi maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa-apa cara secara berulang kali atau kerap.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

Terdahulu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai dan menganggap ianya tidak sesuai serta boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Komen
Loading...