Pemain Sitar Anoushka Shankar Kembali ke Kuala Lumpur Oktober ini
- oleh MDaily Editor
- 6 Apr 2026 12:37 pm
Selepas 14 tahun meniti kerinduan peminat di Malaysia, pemain sitar antarabangsa, Anoushka Shankar, bakal membuat kemunculan semula yang gilang-gemilang di ibu kota pada 4 Oktober depan.
Konsert satu malam yang cukup dinantikan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekali gus menandakan kepulangan ikonik pemenang 13 pencalonan Anugerah Grammy ini ke pentas Malaysia sejak kali terakhir pada tahun 2012.
Penganjur konsert, Shiraz Projects, dalam satu kenyataan berkata, persembahan kali ini akan menjadi satu keraian hebat terhadap evolusi muzik, hubungan budaya, dan kecemerlangan artistik yang dibawa oleh Anoushka sepanjang tiga dekad penglibatannya dalam industri muzik global.

“Peminat di Kuala Lumpur boleh menjangkakan satu perjalanan muzik yang melampaui sempadan, menampilkan lagu-lagu daripada album terbaharunya, Chapter III: We Return to Light, di samping gubahan kegemaran ramai daripada repertoir klasiknya.
“Daripada alunan meditatif yang menyentuh jiwa hingga ke eksplorasi ritma yang rancak, konsert ini adalah satu ‘kepulangan’ emosi yang bersejarah bagi salah seorang pemuzik paling inovatif di dunia,” kata kenyataan itu.
Anoushka, yang juga anak kepada legenda sitar, mendiang Ravi Shankar, dikenali sebagai artis yang berani memecah sempadan antara muzik klasik India dengan pengaruh kontemporari global.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah bekerjasama dengan pelbagai nama besar termasuk Sting, Herbie Hancock, Norah Jones, dan terbaharu, kumpulan virtual popular, The Gorillaz.

Tiket ditawarkan bermula daripada RM155 sehingga RM755 mengikut kategori tempat duduk (Bronze, Silver, Gold, Platinum, Diamond, dan VIP).
Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket akan mula dijual pada 8 April 2026, jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com.




