Kehilangan besar buat industri muzik tanah air apabila pemain gitar utama kumpulan Spider, Napie, atau nama sebenarnya Hanafi Hamdan, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.54 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh.
Allahyarham Napie, yang juga merupakan jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik seniman Datuk M. Nasir, meninggal dunia pada usia 51 tahun akibat strok.
Berita sedih ini disahkan oleh isterinya, Norasidah Said.
“Sekitar jam 12 tengah malam tadi, suami saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, dan pada pukul 3.54 pagi, beliau telah pergi buat selamanya,” kata Norasidah ketika dihubungi seperti dilaporkan Astro Awani.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Menurut Norasidah, jenazah suaminya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes, Rawang selepas solat Jumaat.
Jenazah Napie juga akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, sekitar jam 9 pagi untuk pengurusan kafan dan solat jenazah.
Rakan-rakan dan kenalan yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham dijemput hadir ke masjid berkenaan sebelum pengebumian berlangsung.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.