Pelakon Ashraf Muslim Perluas Sayap Bisnes Bersama JeMels Atelier
- oleh MDaily Editor
- 17 Nov 2025 6:53 pm
Pelakon popular, Ashraf Muslim, kini bukan sahaja aktif dalam bidang lakonan malah memperluas sayap perniagaannya dengan terlibat secara langsung dalam jenama fesyen terkenal, JeMels Atelier, bersama Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.
Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf, 44, berkata penglibatannya dalam JeMels Atelier membuka peluang besar untuk berkembang dalam industri fesyen tempatan.
Rekaan yang diketengahkan banyak menampilkan tona pastel lembut serta elemen Bunga Tanjung sebagai identiti Selangor.
“Saya bersama Tengku Hishammuddin dalam bisnes ini. Di JeMels, saya nampak peluang yang besar untuk berkembang. Konsep dan rekaan yang kami tampilkan yakin mampu melangkah lebih jauh,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik JeMels Atelier di IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu.

Pelakon drama Dari Rahim Yang Sama itu menegaskan bahawa ini bukan pengalaman pertama beliau dalam industri fesyen kerana sebelum ini beliau pernah melancarkan koleksi Baju Melayu.
Namun penglibatannya dalam JeMels adalah langkah lebih besar bagi memperkukuh masa depan.
Selain itu, Ashraf menekankan kepentingan penggiat seni merancang kewangan dengan strategi tersendiri bagi memastikan kestabilan masa depan, terutamanya kerana industri hiburan tidak mempunyai kemudahan seperti EPF atau SOCSO.
“Industri seni ada turun naiknya, sama seperti dunia perniagaan. Setiap individu perlu membuat persediaan sendiri demi keluarga dan juga kru yang bekerja di belakang tabir,” jelasnya.

Walaupun memberi fokus kepada perniagaan dan penerbitan melalui syarikatnya, Al Hidayah Production, Ashraf tetap aktif berlakon kerana minatnya dalam seni lakon masih kuat.
JeMels Atelier, yang sudah lebih 15 tahun dalam industri, kini menawarkan lebih 100 rekaan kurung bercorak, termasuk mini kurung, kurung moden labuh dan pelbagai gaya lain.
Bagi Koleksi Raya 2026, jenama itu memperkenalkan 70 rekaan baharu dengan variasi tona pastel lembut hingga warna berani, daripada gaya minimal berhiaskan renda halus sehinggalah rekaan mewah penuh perincian.
Majlis pelancaran butik turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Cat Farish, Shikin Maembong dan Nelisa Nizam.




