
Seramai 401 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan semua A menerima insentif tunai sebanyak RM500 seorang daripada Yayasan Nurjiwa sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka.
Majlis penyerahan insentif itu berlangsung hari ini dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan jumlah keseluruhan insentif mencecah RM200,500.
Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkata ini merupakan kali pertama yayasan berkenaan memperkenalkan inisiatif seumpamanya bagi mengiktiraf dan menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan akademik.
“Ini adalah kali pertama Yayasan Nurjiwa menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang dengan keputusan semua A. Harapan kami agar usaha ini dapat memberikan dorongan kepada calon-calon SPM akan datang untuk berusaha meraih kejayaan yang sama,” katanya dalam ucapan di majlis tersebut.
Program penghargaan ini direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama pusat tuisyen terkemuka, PTTI, yang turut memainkan peranan dalam mengenal pasti pelajar-pelajar layak menerima sumbangan tersebut.
Selain memberi insentif kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa juga meneruskan usaha kebajikannya dalam membantu golongan pelajar kurang berkemampuan.
Siti berkata, yayasan turut menyediakan makanan harian kepada hampir 100 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) serta anak-anak yatim, dalam usaha memastikan mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan soal makan minum.
“Setiap hari kami menyediakan makanan hampir kepada 100 pelajar yang kurang berkemampuan. Bukan itu sahaja, bantuan ini turut diberikan kepada anak-anak yatim. Usaha ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan diharap dapat membantu lebih ramai pelajar di luar sana,” jelasnya.
Yayasan Nurjiwa, yang diasaskan oleh pasangan selebriti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, terus komited untuk memperkasa bidang pendidikan dan kebajikan melalui pelbagai program sokongan masyarakat.