Negara dikejutkan dengan video pelajar dari Sabah yang sanggup panjat pokok demi mendapatkan liputan Internet, kini pelajar dari Sarawak dikenali sebagai Rose ED terpaksa berkelambu di dalam hutan, demi mendapatkan liputan Internet bagi melakukan ‘presentation’ berkumpulan atas talian.
Berkongsi di laman Facebooknya, pelajar tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari daerah Pakan, Sarawak itu menggunakan kelambu bagi mencegah gigitan nyamuk kerana lokasinya di dalam hutan.
“Hari ini saya terpaksa bersedia awal untuk persiapan diri sendiri sebelum presentation bermula tadi.
“Lokasi ini adalah dikawasan hutan (babas) tempat kami menoreh getah,” ujurnya.
Mengakui presentation itu sepatutnya selesai minggu lepas tetapi kerana kekangan liputan Internet di kampungnya ia terpaksa ditunda.
“Hari ini 24 Jun 2020, selesai sudah presentation group online melalui system MyGuru.
“Sepatutnya presentation ini sudah selesai pada minggu lepas tetapi terpaksa ditunda kerana gagal untuk menghadirkan diri ekoran daripada capaian Internet yang sangat lemah di kawasan pedalaman,” katanya.
Bagi yang tertanya kenapa gadis ini memilih berkelambu di dalam hutan ujurnya liputan internet di kawasan itu lebih bagus dan sesuai untuk dikunjungi setiap hari berbanding di kawasan lain kerana jadual kelas yang penuh.
“Terdapat juga beberapa kawasan disekitar kampung yang dapat dikunjungi untuk mencari Internet seperti kawasan berbukit, kawasan ladang sawit, namun kawasan ini tidak sesuai untuk dikunjungi setiap hari memandangkan saya sendiri mempunyai jadual kelas yang penuh,” katanya.
Selain itu kawasan hutan itu dipilih kerana ia berdekatan dengan kebun milik ayahnya sekaligus dapat membantu membaik pulih pondok di kebun bagi kegunaan kelas online akan datang.
Gadis ini terpaksa memilih kawasan hutan berhampiran kebun ayahnya kerana kos untuk berulang alik ke bandar amat tinggi ditambah cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini.
“Kampung kami tidak lah jauh dari kawasan Pekan Pakan, Namun perlu kita pikir disini bahawa untuk pergi ke pekan adalah memerlukan kos dan kenderaaan yang baik untuk ulang alik setiap hari,
“Saya orang kurang berkemampuan jadi saya tidak mampu untuk pergi ke pekan hari-hari tambahan pula keadaan cuaca yang kerap hujan,” katanya.
Sebagai seorang pelajar tahun akhir Internet adalah sangat diperlukan bagi mendapat maklumat final year project (FYP) melalui sistem MyGuru, MyUpsi Portal & Pustaka Upsi yang disediakan pihak Universiti.
Beliau berharap perkongsian ini dapat sampai ke pihak berwajib dan berharap liputan Internet di kawasan itu dapat dipertingkatkan.
UPDATE : Susulan Pelajar Berkelambu Dalam Hutan Demi Internet, SKMM Akan Membuat Tinjauan
BACA : Gigih Pelajar Sabah Ini Panjat Pokok Jawab Peperiksaan Online
Sumber : Facebook Rose Ed