Pelajar Muzik ASWARA Buktikan Taring di Showcase ‘Pistol & Bunga’
- oleh MDaily Editor
- 21 Sep 2025 3:57 pm

Foto oleh: Papadin.
Barisan pelajar Fakulti Muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membuktikan kemampuan mereka sebagai pemuzik muda berbakat apabila berjaya menggegarkan Dewan Okestra ASWARA menerusi showcase Pistol & Bunga, malam tadi.
Showcase anjuran Fakulti Pengurusan Seni Budaya & Warisan ASWARA dengan kerjasama Neo Gendang Records itu memberi peluang kepada pelajar bukan sekadar bergelar pengurus produksi, tetapi juga tampil sebagai barisan pemuzik utama yang mengiringi ikon rock tanah air, Kumpulan Candy dan gitaris tersohor Edrie Hashim.
Antara pelajar yang terpilih untuk pentas berprestij itu ialah pemain gitar Aqil Daniel Soehad Budiadji, Muhammad Furqan Iskandar Bin Sopian, Adam Hazreeq Bin Harris Zeka, Soehad Daniey Bin Soehed Budiadji, Muhamad Basir Bin Mansor (bass), Muhammad Khairul Hanafie Bin Muhamad (keyboard), serta pemain dram Mirza Izani Bin Zaini, Muhammad Khairin Bin Azmi dan Hanifah Naimi Binti Ar Irwan Daini.
Mereka mempersembahkan deretan lagu rock antarabangsa dan tempatan, antaranya Answers (Steve Vai), Flight of the Wounded Bumblebee (Nuno), Terpaling (Edrie Hashim), Creep (Radiohead), Sweet Child O’ Mine (Guns N’ Roses) dan Warisan.
Pensyarah pengendali kursus, Wan Mohamed Syamil Wan Shamsul Anuar, berkata showcase tersebut adalah sebahagian daripada silibus Pengurusan Produksi Muzik yang memberi pendedahan sebenar kepada pelajar.
“Pelajar bukan hanya menimba ilmu dalam kelas, tetapi berhadapan dengan pengalaman mengurus acara berskala besar. Ia latihan praktikal yang membina keyakinan mereka untuk melangkah ke industri,” katanya.
Candy memukau dengan lagu ikonik Akan Ku Tunggu.
Suasana menjadi lebih istimewa apabila kumpulan Candy menambah tenaga vokal bertenaga, manakala Edrie Hashim mempersembahkan karya solo instrumental serta medley lagu popularnya, sekali gus menjadikan persembahan itu seimbang antara pengalaman artis senior dan keberanian pelajar muda.
Kejayaan showcase ini menjadi batu loncatan untuk siri jelajah Pistol & Bunga yang bakal diteruskan ke universiti lain bermula UiTM Shah Alam pada Januari 2026, sebelum singgah di Universiti Malaya, UPSI, USM, UKM, UPM, UNIMAS dan UMS.
Dengan keberanian mereka di pentas besar, pelajar Fakulti Muzik ASWARA jelas menunjukkan bahawa generasi baharu sudah bersedia untuk mewarisi dan meneruskan legasi muzik rock tanah air.