Pekerja IT Hilang Rupanya Terjunam Dalam Longkang, Dipercayai Sudah Mati 3 Hari
- oleh Mohd Indera
- 5 bulan lalu
SERDANG: Misteri kehilangan seorang pekerja teknologi maklumat sejak Sabtu lalu terungkai apabila kereta jenis BMW milik mangsa ditemukan terbabas di Jalan Lebuhraya Puchong menghala Bukit Jalil, di sini.
Mangsa yang berusia 41 tahun itu dipercayai gagal dihubungi keluarga sejak awal pagi Sabtu yang kemudian bertindak membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan memberitahu, polis mendapat aduan mengenai penemuan kenderaan itu kira-kira pukul 2.30 petang, Isnin.
“Siasatan awal di kejadian, kita percaya kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam longkang, dianggarkan 10 meter kedalaman.
“Akibatnya, lelaki itu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Anbalagan memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan keluarga mangsa membuat laporan mengenai kehilangan mangsa di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.