Ikuti Kami:

Pekerja Asing Sanggup Kutip Beras Berterabur Atas Jalan

Pekerja Asing Sanggup Kutip Beras Berterabur Atas Jalan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dijalankan bermula 18 Mac yang lalu sehingga kini dengan empat fasa yang sudah berlalu. Sepanjang tempoh PKP ini juga dapat disaksikan segelintir rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan harian dalam sekelip mata sahaja.

Selain daripada rakyat Malaysia, pekerja asing yang bekerja di Malaysia juga turut terkesan dengan PKP ini. Lebih menyedihkan, mereka yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh ini hanya mampu mengharapkan baki wang yang ada dalam simpanan atau bantuan dari orang ramai.

Kutip beras berterabur

 

Menerusi perkongsian di Twitter, Kasthuri Patto berkongsikan pengalamannya terserempak dengan seorang pekerja asing di kawasan perumahannya. Pekerja tersebut dilihat sedang mengutip beras yang berterabur daripada plastik yang dibawanya. Beras yang dibelinya bertaburan di atas jalan kerana lubang pada plastik tersebut.

“Takpa, saya balik cuci. Boleh makan lagi”, Potongan ayat ini yang keluar daripada mulut pekerja asing berkenaan sekaligus telah membuatkan wanita itu berasa sayu.

Pekerja asing tersebut dikatakan tidak mempunyai wang dan pekerjaan semasa PKP ini menyebabkan dia sanggup mengutip semula beras tersebut untuk berjimat cermat. Wanita tersebut kemudian menghulurkan bantuan makanan asas yang didermakan khas untuk pekerja asing.

Perkongsian ini turut menyentuh hati ramai pihak apabila mengenangkan nasib pekerja-pekerja asing yang hilang sumber pendapatan mereka. Pastinya sukar untuk mereka meneruskan hidup ditambah pula mereka kini berjauhan dengan keluarga tersayang. Untuk makluman, kejadian ini berlaku di sekitar kawasan Kampung Dock, Bukit Tengah Pulau Pinang.

Diharapkan pada saat ini, orang ramai dapat sama-sama membantu mereka yang di dalam kesusahan tanpa perlu mengira darjat dan latar belakang.

Komen
Loading...