Peguam ‘Abang Bas’ Berusaha Mendapatkan Kembali Bas Yang Disita, Mahu Ambil Tindakan Keatas Netizen
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
MUAR: Peguam secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, berkata, pihaknya berusaha untuk mendapatkan kembali bas yang dipandu ‘Abang Bas’ yang kini disita polis untuk siasatan lanjut.
“Saya simpati dengan apa yang dilalui ‘Abang Bas’ dan selepas berjumpa dengannya saya minta dia bersabar kerana saya akan bantunya.
“Untuk mensabitkannya, kita jangan melihat daripada satu perspektif sebaliknya keseluruhan. Adalah tidak adil bila anda tidak mengenalinya (Abang Bas), tetapi membuat pelbagai andaian di media sosial,” katanya.
Sementara itu, keluarga ‘Abang Bas’ juga mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu, termasuk selebriti yang didakwa menimbulkan syak wasangka serta kecaman terhadap lelaki itu sepanjang ditahan polis akibat dituduh di mahkamah.
Tindakan itu diambil selepas ahli keluarganya menerima kecaman daripada warganet susulan kes dihadapi ‘Abang Bas’. Beliau berkata, individu terbabit masih berkesempatan untuk membuat permohonan maaf kepada keluarga ‘Abang Bas’ sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.