Ikuti Kami:

PDRM Kini Menggunakan Honda Civic Baru

PDRM Kini Menggunakan Honda Civic Baru

Polis Diraja Malaysia (PDRM) nampaknya sedia menggunakan kereta buatan Jepun iaitu model Honda Civic 1.8 S sebagai Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) untuk tugasan rondaan bagi menggantikan model kereta yang digunakan sebelum ini.

Difahamkan sebanyak 425 unit kenderaan MPV ini bakal ditawarkan secara berperingkat bermula hari ini sehingga Julai 2020.

Model yang ditawarkan ini bakal turut dilengkapi dengan peralatan komunikasi RMPNeT, dashcam serta perakam video digital yang disewa secara konsesi melalui syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun.

Bukan itu sahaja, PDRM juga bakal menerima sebanyak 850 kenderaan peronda selepas ini terdiri daripada 197 model Proton X70 1.8 dan 653 unit Honda Civic 1.8S bagi tujuan program penggantian kenderaan sedia ada bermula Julai sehingga September ini.

Majlis penyerahan sebanyak 30 unit Honda Civic 1.8 S ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada PDRM di Putrajaya pada hari ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador penggunaan kenderaan MPV terbaru ini sangat diperlukan melihatkan kenderaan PDRM sedia ada yang usang dan tidak selamat digunakan.

“Sudah lama kita mohon saya ingat dalam dua tahun lalu. Penerimaan aset ini diharap mampu membolehkan PDRM menjalankan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat,” ujar Tan Sri Abdul Hamid.

Penggunaan kenderaan peronda terbaru dengan teknologi terkini ini difahamkan dapat meningkatkan lagi kecekapan PDRM dalam melaksanakan tugasan harian.

Dilaporkan PDRM juga bakal turut menerima beberapa kenderaan lain terdiri daripada lori pengangkut, kenderaan Black Maria dan motosikal untuk polis trafik secara berperingkat.

Foto : KDN

Komen
Loading...