PDK Rengit Fun Run Charity 2025: Larian Amal Bantu Dana Pendidikan Anak OKU
- oleh MDaily Editor
- 3 Oct 2025 2:09 am
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Rengit bakal menganjurkan Fun Run Charity 2025 pada 25 Oktober ini sebagai usaha mengumpul dana pendidikan dan pemulihan bagi anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan setempat.
Acara ini dijangka menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, komuniti setempat, badan korporat serta individu yang prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak-anak OKU.
Program amal yang dijadualkan bermula jam 6 pagi di perkarangan PDK Rengit ini menampilkan larian santai sejauh 5 kilometer.


Yuran penyertaan ditetapkan pada RM40 seorang dan termasuk race kit lengkap seperti jersi rasmi, medal penamat, nombor bib, sijil penyertaan serta sarapan pagi.
Tawaran early bird pada harga RM35 untuk 50 peserta terawal telah habis ditempah. Pendaftaran masih dibuka sehingga 5 Oktober 2025.
Menurut Pengerusi PKPDK DUN Rengit, Pn Hjh Halidah Baba, program ini bukan sekadar aktiviti sukan, malah platform untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan dan sokongan awal kepada anak-anak OKU.
“Melalui program seperti ini, masyarakat dapat melihat peranan PDK dalam memberi latihan, pendidikan serta intervensi awal bagi membantu anak-anak OKU berdikari dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, peserta berpeluang memenangi lebih 30 hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama sebuah televisyen 50 inci.
Bagi kategori pertandingan Lelaki Dewasa, Wanita Dewasa, Lelaki Remaja dan Wanita Remaja hadiah wang tunai ditawarkan iaitu RM300 bagi tempat pertama, RM200 tempat kedua, RM150 tempat ketiga, manakala tempat ke-4 hingga 10 menerima hadiah saguhati.

Pengarah Projek, En Mohd Zaidi Palidin, berkata dana yang dikumpul akan digunakan bagi menyediakan peralatan terapi dan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak OKU dan autisme.
“Dengan hanya RM40, masyarakat bukan sahaja menyertai aktiviti sihat, tetapi juga menyumbang kepada masa depan mereka,” jelasnya.
Pengambilan race kit akan berlangsung pada 23 dan 24 Oktober 2025 di PDK Rengit, Jalan Rengit 30, Johor dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Rakan penganjur, Cik Yanie Baharom dari Rich Quinn Media Sdn Bhd, menyeru orang ramai segera mendaftar sebelum tarikh tutup.
“Pendaftaran amat mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan sokongan penaja kerana dana yang dikumpul akan memberi impak besar kepada pembangunan pelatih PDK,” katanya.

PDK atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (JKM) ialah program di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan khidmat pemulihan, latihan, pendidikan dan sokongan sosial kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penglibatan masyarakat setempat. Ia bertujuan membantu OKU berdikari, berintegrasi dalam masyarakat dan mendapat peluang yang sama rata.
Pada tahun 2017, PDK didaftarkan secara rasmi sebagai pertubuhan. Kini, PDK Rengit melatih 38 pelatih OKU dalam pelbagai kategori termasuk autisme, sindrom Down, ADHD, masalah fizikal dan pendengaran, dibimbing oleh 7 tenaga pengajar terdiri daripada seorang penyelia dan enam petugas.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh didapati di laman rasmi pdkrengitfunrun.rqmservice.com atau Facebook Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti PKPDK DUN Rengit. atau hubungi Kak Bed: 010-877 9676, Ajid Burger: 011-1066 0478, Zaidi: 012-788 6348, Abby: 010-250 8900.





