PBPKNM & YM Tengku Puteri Rosmawini Hulur Sumbangan Prihatin di Sungai Tua
- oleh Mohd Indera
- 31 Aug 2025 12:15 pm

Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM) dengan sokongan YM Tengku Puteri Rosmawini Tengku Dato’ Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz binti Abdullah, selaku Penasihat Diraja persatuan, terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat melalui penganjuran program kebajikan dan komuniti di Sungai Tua, Gombak, pagi ini.
Program bermula seawal jam 8.15 pagi dengan siri ziarah ke tiga kediaman penduduk setempat yang memerlukan.
Sumbangan berupa katil medikal dan kerusi roda serta barang asas sumbangan Menteri Besar Incorporated (MBI) telah disampaikan kepada pesakit terlantar serta individu kurang upaya sebagai usaha meringankan beban mereka dan membuktikan kepedulian PBPKNM terhadap masyarakat.
Selesai lawatan, rombongan meneruskan penglibatan dalam acara Fun Run – Nadi Sungai Tua anjuran Pejabat ADUN Sungai Tua di Dataran Niaga Sungai Tua.
Dalam majlis tersebut, berlangsung Penyampaian Sumbangan Kebajikan kepada penerima terpilih daripada Penasihat Diraja PBPKNM dengan kerjasama Skuad Bencana Sungai Tua, termasuk sumbangan kepada 20 veteran beruniform serta penyerahan peralatan kemanusiaan.
Turut serta dalam rombongan ialah Skuad Bencana ADUN Sungai Tua, serta wakil daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang mewakili Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.
Kehadiran mereka memperlihatkan kerjasama erat pelbagai pihak dalam menjayakan program berbentuk kebajikan dan komuniti.
YM Tengku Puteri Rosmawini turut berkenan menyampaikan peralatan kemanusiaan kepada Skuad Bencana Sungai Tua selain menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada para peserta larian, termasuk hadiah utama sebuah motosikal yang disumbangkan khas oleh baginda sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat setempat.
Wakil PBPKNM berkata, program ini adalah bukti persatuan bukan sahaja menjaga kebajikan veteran keselamatan negara, malah terus berperanan mendekati masyarakat.
“Dengan adanya Penasihat Diraja seperti YM Tengku Puteri Rosmawini yang sentiasa turun padang, para veteran berasa lebih dihargai, manakala masyarakat pula dapat melihat kesungguhan PBPKNM memberi manfaat secara langsung,” katanya.
Program berakhir dengan pelepasan konvoi yang mengiringi keberangkatan YM Tengku Puteri Rosmawini meninggalkan majlis.
Inisiatif ini memperlihatkan iltizam PBPKNM dan YM Tengku Puteri Rosmawini dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, sambil memastikan kebajikan veteran keselamatan negara sentiasa diutamakan.